Followers

Tuesday, October 16, 2012

Kari Udang





  

 Agaknya sudah lama kami tidak pergi berkenduri di luar Kelantan.Paling terakhir ialah menghadiri kenduri  kahwin anak saudara di Kerteh,Terengganu pada  awal bulan Februari lepas. 

   Kali ini di akhir bulan Ogos,kami ke Perak pula untuk Majlis perkahwinan seorang lagi anak saudara  lelaki yang akan berlangsung pada 25hb Ogos 2012 di Dewan Komuniti Changkat Jering,Taiping.

   Pada jam 10.00 pagi Jumaat 24hb.Ogos aku dan isteri bersama dengan anak saudara perempuan serta  dua anaknya berlepas  dari Kota Bharu menuju Taiping melalui Lebuhraya Timur Barat.Perjalanan   kami tenang kerana  tidak banyak kenderaan di lebuhraya.Tidak seperti beberapa tahun dahulu pemandangan  serta panorama indah tidak begitu kelihatan lantaran sudah banyak terdapat pokok-pokok besar dan  semak samun  di kawasan bukit .Lainlah pula  kalau menaiki bas ekspres.

   Sebaik sahaja tiba di Grik kami tidak terus  ke Taiping sebaliknya menghala ke Seberang Prai.  Rupa-rupanaya anak saudara kami (yang memandu) megidam untuk menikmati kari udang di Sungai Bakap yang mengikut khabarnya  adalah yang terbaik. Kami tidak membantah malah mengikut sahaja apalagi ingin menumpang pengalaman menikmati kari udang di tempat orang.Sekali  sekala aku khayalkan rupa dan rasa kari udang dan keseronokan yang akan diperolehi nanti.


   Kami tiba di Sungai Bakap pada jam 4.30 petang  dan selepas menunaikan sembahyang  jamak di Masjid  Sungai Udang,kami menuju ke destinasi yang menyediakan kari udang yang terletak tidak jauh dari masjid tadi.Aku meninjau-ninjau kawasan dan terdapat sederet kedai empat atau lima pintu yang  menghala ke Sungai dan berhadapan dengan satu jambatan besi untuk laluan bermotosikal.Rupa dan struktur kedai itu mirip binaan  tahun 1950han. Kedai yang menyediakan kari udang terletak di tengah-tengah. Khayalanku yang ia adalah sebuah  restoran indah dan moden meleset sama sekali.

   Sebaik sahaja melangkah masuk aku perhatikan yang sememangnya ruang kedai itu adalah warisan tahun 1950han.  Ia adalah sebuah kedai Cina.Ada gambar-gambar lama dan poster minuman keras terpampang dekat meja kami. Aku tidak sedap hati.Wajah isteriku juga membayangkan keadaan yang sama.Tauke kedai tampil mengambil pesanan..Kami  berdua tidak meminta apa-apa makanan atau minuman.Anak saudaraku yang membuat segala pesanan.Lima belas minit  kemudian  kami dihidangkan dengan kari udang,nasi dan roti bakar.Melihat kari udang ,aku  dapat bayangkan selera.Sungguh sedap nampaknya.Namun hati dan  naluriku membantah.Aku tidak akan menyentuhnya.Pertama,  setelah  kari itu dihidangkan oleh seorang perempuan Cina bersama nasi di dalam pinggan plastik, aku tidak nampak pun sebarang label 'Halal'.Kedua,  terdapat sekumpulan kecil pengunjung Melayu dan Cina yang berada di situ menampakkan realiti corak hidup yang  kurang meyenangkan dari segi keimanan.Aku memberi  alasan sudah kenyang.(Kami sudah mengambil nasi di tengah perjalanan tadi).Aku hanya minum air mineral yang dibawa bersama.Begitu   juga isteriku.Gelas minuman yang  ada tidak juga kami sentuh.Kami sekadar memerhati sahaja anak saudara dan anak-anaknya  menjamu selera! 

Aku tidak berniat hendak memperkecil atau menghina sesiapa.Yang penting ,aku tidak mahu keimananku dicemari  hanya kerana ingin berseronok menikmati kari udang. Kami  tidak teruja untuk makan apalagi hendak menyentuhnya.Kami memohon  perlindungan dan petunjuk dari Allah.Kami yakin Allah mendengar dan menolong menguatkan keyakinan serta keimanan kami.

Kari udang Sungai Bakap hanya tinggal kenangan !


   Di sepanjang perjalanan menuju Taping lewat petang itu,kami merasa lega kerana berjaya mengekang nafsu makan  kari udang yang sebegitu rupa.

   Kami bermalam di hotel Sri Malaysia,dan esoknya semasa  makan bersama-sama kedua-dua pengantin di meja pengantin kami dijamu dengan kari udang lagi.Kali ini kami tidak menolaknya.Allah telah mengizinkannya untuk kami.

   Kami  kehilangan kari Udang Sungai Bakap,tapi Allah menggantikannya dengan  kari udang Changkat Jering !