Followers

Tuesday, March 12, 2024

Pak Ngah dan Mak Ngah

Pasangan yang romantis

      Setiap kali bila aku mendengar atau melihat cerita trajedi Romeo dan Juliet, Laila Majnun,   dan seumpamanya aku teringat kisah Pak Ngah dan Mak Ngah .

       Pak Ngah adalah adik lelaki  kepada nenek aku yang selalu kami panggil  Tok Ji.Dia ditumpangkan untuk mendiami di sebuah rumah kecil di belakang rumah Tok Ji.Di rumah dua bilik yang beratapkan nipah dan berdiding buluh itu lah Pak Ngah berkongsi hidup dengan Mak Ngah,bangsa tionghua yang memeluk Islam sudah sekian lama dulu.

    Yang paling menarik tentang mereka berdua ialah  mereka tidak pernah berenggang,sentiasa mesra dan selalu bergurau senda.Walaupun ketika itu mereka sudah pun berumur hampir 60 tahun  namun,pasangan ini cukup romantis.


         Itulah yang  menyebabkan PM anak cucu ,sentiasa mengusik dan mengintai-gintai gelagat  mereka berdua. Mereka jadi maianan gurau senda.

      Pak Ngah selalu melepaskan geram dengan kata-kata yang kuat apabila menyedari anakcucu berada dibelakang dinding rumah.

          "Nanti budak-budak ni aku baham dengan tongkat ...". Anak cucu yang mengintai melalui celah-celah lubang dinding buluh betempiaran lari bila tongkat dihayun kuat ke dinding..

            Ada ketikanya anak cucu memujuk Pak Ngah dan Mak  Ngah.

           "Pak Ngah...nak minta tolong beli apa hari ni...?"Anak cucu mempelawa,"'Ada upah  ?"


         Suatu pagi, ketika anak cucu sedang riuh bermain dihalaman rumah To Ji,kedengaran suara tangisan yang kuat datang dari arah rumah Pak Ngah.Anak cucu tercengang.

           Tiba-tiba Mak Ngah datang berlari dengan kuat sambil meraung dan menangis.

        "Aku nak mati....aku nak mati......" Dia terus menuju ke arah sungai yang  terletak di hujung kebun sayur dan ubi.Tidak jauh di belakangnya Pak Ngah mengejar.Anak  cucu ikut berlari mengikut Pak Ngah.

            "Cepat Pak Ngah...cepat...tolong Mak Ngah!"

          Mak Ngah terus meluru dan setibanya di tebing sungai ia terus terjun.Pak Ngah ikut terjun  dan terus memeluk dan mengangkat Mak Ngah. Kedua-duanya berdiri.Paras air sungai yang cetek hanya setakat  lutut mereka sahaja.Pak Ngah mengesat muka Mak Ngah dengan kain batik lepasnya  dengan disaksikan oleh anak cucu yang berdiri berbaris di tebing sungai.Mereka bersorak dan bertepuk tangan.Bagi mereka ini adalah satu jenaka.

           Mak Ngah dipapah naik ke atas tebing dan berjalan dengan dipimpin Pak Ngah.Titisan air sungai dari kain mereka membasahi tanah kering di sepanjang laluan seolah-olah melakar kisah suka duka hidup Pak  Ngah  dan Mak Ngah.

           Beberapa tahun   kemudian,sebahagian anak cucu tadi sudah pun dewasa,Pak Ngah dan Mak Ngah dilaporkan telah berpisah.Pak Ngah menghabiskan sisa hidupnya  menumpang di rumah anak lelaki tunggalnya di Semerak  dan Mak Ngah tidak dapat di kesan. Anak cucu merasa sedih dan simpati.Itu sudah pun menjadi suratan takdir.

             Kehidupan ada kalanya merupakan satu misteri,yang sukar difahami!

Thursday, April 27, 2023

Itulah Aku

Bali : Dalam perjalanan ke gunung ,14/7/2006


Hari ini,
Rabu, tanggal 10 Muharram 1430,
Hari Asyura,
Bersamaan 7hb.Januari ,2009
aku masih berpuasa..
berdoa dan mengharap

Justeru,persis kata-kata Chairil Anwar
"Tuhanku
Dalam termanggu
Aku masih menyebut namaMu
Biar susah sungguh
mengigat Kau penuh seluruh "
. ........ ( Doa)

jadi,

Andaikan aku hidup seratus tahun lagi,,,
akan ku goreskan muka bumi ini dengan pena emasku..
aku coretkan dengan liku-liku hidupku yang panjang
agar nanti....jadi renungan buat anak-anak.

Kiranya hidup ini bisa mewarnai hidupmu
kau ulikilah ia...usah ditangisi atau diusapi
kiranya titis airmata menuruni pipi..
kadangkala ia adalah menifestasi
kemanusiaan jua...

Untuk apa ku ukirkan ini
unjuk dengan kisah-kisah yang bukannya indah
unjukanku , keluhanku semuanya itu
untuk apa untungnya?
uhh.....renungilah jika kau mampu!

Rasulullah s.a.w pernah bersabda maksudnya,
"Tidaklah harus orang yang tidak tahu itu
diam
dalam ketidaktahuannya (kebodohan)
dan
tidaklah harus orang yang berilmu itu
diam
dengan ilmunya (tidak mengajar)
-(hadis riwayat Attabrani)

Aku juga pernah dengar ada orang berkata;
"One cannot live well until one has
learned how to read well.."

dan banyak lagi yang aku dengar..
Itulah Aku!

*********
(Sila highlightkan sambungan dibawah ini:)


Aku dilahirkan dari keluaraga biasa yang hidup sedarhana.Ibu berasal dari sebuah pekan kecil di dalam daerah Bacok.Ayahku dari Kota Bharu.
Aku adalah generasi yang ke sepuluh dari
nasab ayahku.. dari catatan ayahku (yang ditulisnya dalam tulisan jawi ) generasi pertama berasal dari Petani,di Selatan Thailand .

Susunannya.......

Dato Lela Wangsa (Petani)


kemudian Mekong Chik

kemudian Dato Che Nik

kemudian Abu Saamah

kemudian Mekong Saamah

kemudian Pengahulu Abdullah

kemudian Penghulu Yamin

kemudian Haji Awang

kemudian Mohd Hussain ( Khalie' )

dan kini Itulah Aku

Anak-anakku adalah generasi yang ke sebelas .
Cucu-cucuku adalah generasi yang ke duabelas.
wow....seronok juga memikirkannya....
Apa lagi buat masa kini aku sudah mempunyai hampir seratus orang sepupu !



Itulah Aku !










Wednesday, September 14, 2022

Aku kembali

       AKU KEMBALI


         

     Sudah dua tahun lebih aku tidak menulis.Pertama CPU aku rosak dan kedua aku terlibat dengan projek DIY dirumah.Beberapa pengubahsuai bilik dan halaman rumah aku lakukan dan dalam beberapa bulan aku bertungkus lumus mengubah suai pintu utama, make up bilik bacaan dan membesarkan bilik tamu dengan melengkapkanya dengan alat hawa dingin baru.Selain itu pagar baru siap dibina di kolam ikan.

    Satu ketika,semasa menyiapkan bumbung baru tempat letak kereta kedua-dua belah kakiku terluka teruk kerana kepingan zinc baru terjatuh.Akibatnya kedua-dua belah kakiku menerima 34 jahitan,24 jahitan di kaki kanan dan10 jahitan di kaki kiri.Lantaran itu aku berehat sebulan sehingga kakiku sembuh sepenuhnya. 

       Setiap kali apabila ada "Projek" baru yang aku buat,aku selalu mendapat protes dari anak-anak ,baik yang tinggal di Kelantan maupun yang berada di Kuala Lumpur. Soal kos tidak timbul, aku banyak mangambil kira masa lapangku yang terbuang.Itulah aku lebih suka melakukan  projek baru di rumah.

           Di awal bulan Februari aku mengubahsuai pintu utama.Pintu kayu yang agak berat itu aku buka dan diubah suai untuk di letekkan di bilik bacaan di sebelah. Kerja-kerja pengubahsuaian mengambil   masa beberapa hari.Malangnya kerja-kerja itu tergendala apabila aku mengelami kekejangan urat belakang sampai ke peha.Akibatnya aku sukar nak berjalan .Selama dua bulan berikutnya akau mendapat rawatan fisioterapi termasuk aculpunture. Walaupun  keadaan semakin baik aku amat terkesan dengan kesakitan yang telah aklu alami. Oleh sebab itu tiada lagi"projek" yang nak aku lakukan.

                 Anak-anak ku cukup gembira dan rilek kerana aku tidak lagi aktif.

            Pada bulan Julai 2022 ,ribut kencang pada petang Isnin telah menerbangkan dua keping atap  bumbung rumah .Hujan lebat malam itu membasahi bilik tingkat atas dan seterusnya melimpah ke bilik dibawah. Hanya pada  keesokannya baru aku sedar dan mendapati bumbung rumahku berlubang. Sukar untuk mendapatkan tukang bagi membaiki kerosakan dalam masa yang singkat. Aku bimbang hujan akan berlaku hampir di setiap malam .Dengan itu aku mengambil keputusan untuk membaiki kerosakan itu sendiri.

                 Aku mengangkat kepingan bumbung yang jatuh ke tingkat atas dan menerusi ruang diatas siling aku menolaknya keatas.Dalam masa hampir empat jam aku berjaya memulihkan bumbung yang rosak.Semasa duduk di atas bumbung sedikit pun aku tidak merasa ghayat .

                 Anak-anak ku memprotes dan hampir menangis bimbang akan keselematan aku ,tapi aku yakin Allah bersamaku.

               Aku kembali kepada kehidupan normal dangan banyak masa dihabiskan untuk membaca dan melayari internet. Aku bersyukur dalam mencecah umur delapan puluhan aku masih diberi kekuatan mental dan tenaga untuk meneruskan kesinabungan hidupku. 

                      Tidak ada waktu yang paling berharga aku tempuhi melainkan mempersiapkan diriku untuk kembali kepadaNya .Insyallah !

Sunday, November 3, 2019

https://youtu.be/kvG1is_4VdQ

Tuesday, February 14, 2017

Jatuh cinta dengan DIY

           Semenjak di bangku sekolah lagi aku memang meminati seni dan hasil kreatif.
            Aku belajar melukis dengan  Cikgu Nik Mahmood ,seorang guru senilukis terkenal di Kota Bharu  dan kemudian dengan Encik Ismail  untuk melukis potret
      
            Sudah banyak  lukisan terutama pemandangsn dan potret aku hasilkan dan banyak pula hasilku itu diambil rakan sekolah serta kenalan.
             
             Menjelang dewasa aku sudah mula jatuh cinta dengan DIY !.Aku melibatkan diri dengsn pelbagai kegiatan mencipta sendiri  hasil seni kreatif dan kraftangan yang ada nilai- nilai astetika.
         Ini adalah lukisan cat minyak pertama aku yang dibuat pada tahun 1965 dan karya khatayat Al ikhlas.

                Aku mula meminati  kerja merekacipta  hiasan dalaman dan senibina bangunan.Dengsn itu aku membeli apa sahaja peralatan satu demi satu.Aku kira itu lebih baik dari mengupah tukang.

                Ada sebuah meja tulis keluarga yang diguna  sejak tahun 1951 aku sumpan fan kemudiannya aku ubahsuai menjadi meja console.

               Beberapa  rekabentuk hiasan dalaman seperti cermin besar, jendela bercermin dan siling sunken aku buat sendiri.Ia memberikan aku kepuasan personal..


Thursday, February 2, 2017

Rumah idamanku

       Seperti juga orang lain aku ingin memiliki sebuah rumah untuk keluarga berteduh.
.
       Bemula dengan  sedikit wang aku mengupah  dua orang  tukang rumah untuk memulakan pembinaan tiang asas.

       Dan kemudiannya membina dinding bata setinggi dua setengah kaki.Aku belajar membina dinding dan selama lapan bulan aku telah berjaya  menyiapkan seluruh dinding rumah " single handed " Sesudah itu barulah bingkai pintu dan jendela dipasang oleh kedua-dua orang tukang.Dalam tempoh dua bulan tingkat atas disiapkan dan dinding kayu serta jendela dirpasang.9

                  Selepas ini siling dan cermin jendela di tingkat atas akulah yang      menyiapkannya.Berminggu- minggu aku bertungkus lumus melakukan kerja-kerja itu seorang diri.Aku berpegang kpada kata-kata ;"kalau hendak seribu daya" dan" dimana ada kemahuan disitu ada jalan".

                   Sebenarnya rumah aku belum siap dan sempurna seluruhnya tetapi aku sekeluarga telah berpindah masuk walaupun jendela terpaksa di tutup dengan kepingan papan.  Api letrik dan air di salur dari rumah jiran sebelah rumah.

                    Bertahun-tahun aku bertungkus 3lumus.Alat binaan dan peralatan yang berkaitan aku beli sedikit demi sedikit bak kata pepatah " sambil menyelam sambil minum air".Di tahun ke lima barulah kerja- kerja mengecat  aku lakukan.

                  Dalam jangka masa hampir lapan tahun baru rumaku 90% 'siap.Lepas itu dalam tiga empat tahun aku siapkan porch dan serambi tambahan yang kenudiannya diubah jadi bilik oval untuk tetamu.Dalam tahun 2000 aku bina kolam ikan, ruang taman hijau dan air terjun.
    
                  Kawasan lapang sekeliling telah pun dipenuhi pelbagai pokok tanaman seperti pisang,mempelam, kelapa, dokong dan rambutan serta manggis.

                 Aku tidak menetapkan budget sebenar pembinaan.Semua sebahagian besar pendapatan gaji dan  perolehan sampingan serta sebahagian wang kwsp aku gunakan untuk menyiapkan rumah idamanku.Kadangkala aku merasa rumahku adalah hasil titik peluh , tenaga serta airmataku.

                  Alhamdullillah dengan sokongan  serta bantuan isteri dan ketiga- tiga anakku  "rumah idaman" telah menjadi kenyataan.Lebih kurang 50% dari kerja pembinaan adalah dari hasil titik peluh aku sendiri.

                   Dan sehingga kini aku berura-ura dan merancang untuk membesarkan serta mengubasuai ruang dapur dan membina ruang solat disebelahnya.

                   InsyaAllah  setiap masa dan ruang waktu aku gunakan sepenuhnya untuk melengkapkan rumah idamanku disamping mengabadikan diri sepenuhnya untukNya.....sehingga nanti aku akan dijemput kembali kepadaNya !
                       

Tuesday, October 16, 2012

Kari Udang





  

 Agaknya sudah lama kami tidak pergi berkenduri di luar Kelantan.Paling terakhir ialah menghadiri kenduri  kahwin anak saudara di Kerteh,Terengganu pada  awal bulan Februari lepas. 

   Kali ini di akhir bulan Ogos,kami ke Perak pula untuk Majlis perkahwinan seorang lagi anak saudara  lelaki yang akan berlangsung pada 25hb Ogos 2012 di Dewan Komuniti Changkat Jering,Taiping.

   Pada jam 10.00 pagi Jumaat 24hb.Ogos aku dan isteri bersama dengan anak saudara perempuan serta  dua anaknya berlepas  dari Kota Bharu menuju Taiping melalui Lebuhraya Timur Barat.Perjalanan   kami tenang kerana  tidak banyak kenderaan di lebuhraya.Tidak seperti beberapa tahun dahulu pemandangan  serta panorama indah tidak begitu kelihatan lantaran sudah banyak terdapat pokok-pokok besar dan  semak samun  di kawasan bukit .Lainlah pula  kalau menaiki bas ekspres.

   Sebaik sahaja tiba di Grik kami tidak terus  ke Taiping sebaliknya menghala ke Seberang Prai.  Rupa-rupanaya anak saudara kami (yang memandu) megidam untuk menikmati kari udang di Sungai Bakap yang mengikut khabarnya  adalah yang terbaik. Kami tidak membantah malah mengikut sahaja apalagi ingin menumpang pengalaman menikmati kari udang di tempat orang.Sekali  sekala aku khayalkan rupa dan rasa kari udang dan keseronokan yang akan diperolehi nanti.

Friday, April 6, 2012

Hingga kini jua..



                         
                                                                            
  Sudah menjadi  lumrah dalam kehidupan  apabila sampai waktunya seseorang itu terpaksa mencari jodoh untuk berkongsi hidup.

  Aku juga tidak terkecuali. Dari usia yang  agak muda aku telah mula mengintai-intai gadis yang bakal menemani hidupku.Akhirnya  pada usia 24 tahun aku rasmi menjadi seorang suami.Isteriku berusia 22 tahun!

  Kini sesudah 43 tahun bersama,kemesraan masih utuh juga malah ada kalanya kami menjadi semakin manja dan sensitif.Walaupun anak-anak tidak tinggal  bersama (semuanya dan berumah  tangga dan memiliki kediaman sendiri masing-masing) kami tetap serasi dan
rapat.Kemana-mana pun, berdua-duaan.

Wednesday, February 15, 2012

Rutin harianku


                                                    
       Sudah berpuluh tahun aku menjadi pendidik , dan menempuh pelbagai ragam hidup,namun
suasana hidup hari ini adalah lebih tenang,lebih bererti dan  rasa dilimpahi  banyak rahmat.

      Bezanya ialah  sesudah berbelas tahun bersara,aku kini menjadi "Baby sitter" kepada cucu lelaki yang  memasuki usia dua tahun.

      Dari sinilah bermulanya lembaran hidup baru dan kini menjadi rutin harianku. Satu susungalur hidup yang aku rasa tidak semuanya boleh dinikmati  oleh
semua orang .Ia memerlukan keyakinan ,keikhlasan,tenaga dan istiqamah  yang berpanjangan serta berterusan.Malah jika disalahurus akan menyebabkan berlakunya
konflik  keluarga  dan lebih-lebih lagi konflik diri.  Sehingga kini aku yakin dapat mengatasinya dengan  izin Allah.

     Rutin harianku bermula jam 5 pagi.Aku dan isteriku  biasanya melakukan solat-solat sunat sementara menuggu azan subuh.Setelah  selesai solat sunat subuh dirumah   kami terus ke masjid  berhampiran.dan setengah jam kemudian  telah pun bergerak kerumah anak perempuan kami,hampir tujuh kilometer jauhnya
untuk  mengambil cucu lelaki bersama dua orang kakaknya..Sebelum jam 7 pagi kami sudah pun melepasi simpang lempu isyarat yang paling sibuk untuk
menghantar  kedua-dua orang kakaknya ke sekolah.sebelum pulang bersama  cucu kerumah kami.Biasanya   sekitar jam 7.30 pagi kami sudah pun berada
dirumah dan bermulalah tugasan  harian rasmi  kami.

     Tugas ku menemani,melayan dan bergaul dengan cucu dan menidurkan nya sekitar jam 9.00 atau 10.00 pagi.Tugas isteriku menyediakan minuman susu,
memandi dan menyalin lampin dan pakaianya.Jelasnya sebahagian besar masa , akulah yang lama berada bersama  cucu dan mengikuti segala kerenahnya.

Adakalanya aku ikut  bermain  sorok-sorok dengan nya,berbaling-baling bola dan bantal  serta sekali sekali mengiau memanggil-manggl kucing!.Pendek kata
kami berkongsi kelakuan dan tingkahlaku yang sama.

     Penat,tapi aku bersyukur kerana Allah memberikan aku kesempatan  untuk bersama dengan cucu  lelaki.(Ketiga-tiga kakaknya sebelum ini
 pun membesar bersama kami) .Malah  kami tidak pun terasa membosankan melakukan kerja-kerja begini. sebaliknya  ujudnya keceriaan,hilai ketawa dan
gurau senda kami bertiga. Aku sering membayangkan betapa sunyi ibu dan ayah yang sudah tua ditinggalkan  di rumah-rumah kebajikan,tanpa hilai ketawa
bersama anak dan cucu. Syukurlah Allah memberikan rahmat untuk kami menikamati saki baki hidup bersama anak-anak dan cucu.

Sunday, January 29, 2012

Berakit ke Hulu,berakit ke Hilir






Perjalanan yang lambat  mengikut  arus
    Aku memang suka berkongsi dan dikongsi pengalaman. Memang benar jauh perjalanan,luaslah pengalaman.Pengalaman menjadikan kita semakin matang,mengerti kemanusiaan dan ketuhanan serta menghidupkan ikatan ukhwah.

       Satu ketika dahulu ,aku menyertai sekumpulan sepuluh orang budak-budak pengakap bersama seorang gurunya iaitu dari kumpulan 26 Kelantan English School,Kota Bharu Kelantan mengembara dengan rakit di Ulu Kelantan.

Terkandas di atas pasir sungai yang cetek
            Tepat pada jam 6.30 pagi 8hb April 1969,kami telah menaiki bas di Jambatan Sultan Yahya Petra menuju Tanah Merah.Setibanya di Tanah Merah sejam kemudian kami besesak-sesak pula dalam sebuah bas yang lebih kacil menuju pekan Ayer Lanas dan seterusnya tiba di Jeli pada jam 12.15 tengahari.Dalam keadaan panas terik kami meneruskan pengembaraan dengan berjalan kaki menuju Kampung Lubuk Bongor yang jauh nya hampir 14 kilometer.Kami melalui jalan tanah merah yang baru di bersihkan dan terpaksa mendaki dan menuruni bukit serta menharungi Sungai di Cegar Bedil yang airnya deras sedalam separas pinggang.Yang jadi masalahnya ialah setiap orang terpaksa memikul hampir 15 kilogram barang makanan seperti beras,gandum,ikan kering,sardin,minyak masak,gula dan keperluan peribadi termasuk ubat-ubatan.

        Kami keletihan dan walaupun jangkaan akan sampai di Lubuk Bungur jam 7.30 malam,kami semua mengambil keputusan mendirikan khemah di tengah hutan di Pasir Tia dan bermalam di situ.Keesokannya kami meneruskan perjalanan. dan tiba di Lubuk Bungur jam 11.30 tengahari.
Gambar kenangan di Air Lanas
                                   
             Berikut ialah ringkasan pengembaraan kami:

8hb April :  Bertolak dari Kota Bharu.
9hb April:  Tiba di Lubuk Bongor,dan mula membina dua buah rakit dengan buluh yang     dibeli berharga 8 ringgit untuk sebuah.Kami berehat dan bermesra dengan penduduk kampung selama dua hari.
  
11hbApril: Selesai menunaikan Solat Jumaat, kami memulakan pengembaraan berakit pada jam 3.30petang.Setiap buah rakit menampung 6 orang,tiga di hadapan dan tiga di belakang.Lewat petang itu kami mendarat di Jerimbong dan bermalam di situ.Unggun api terpaksa dinyalakan sepanjang malam di hadapan khemah.

Bersama adik-adik di Kuala Balah
12hb April: Meneruskan perjalanan dan tiba di Pekan Kuala Balah pada jam 10.10 pagi  dimana kami membeli belah dan melapurkan diri di Balai Polis. (Keadaan Darurat masih dikuatkuasakan).Kami bermalam di situ.
13hb April: Memulakan perjalanan di awal pagi menuju Kuala Krai.Menempuh dua halangan yang besar.Pertama terpaksa menuruni jeram berbahaya di Cegar Bedil dekat Dabong dan keduanya melalui Lembah Pergau yang begitu dalam dan airnya berwarna kehijauan.Kami tidak dapat menggunakan galah dan hanya mengikut arus sungai.Tiba di Kuala Krai jam 6.30 petang dan bermalam di situ. Beberapa orang peserta belot, dan pulang ke Kota Bharu dengan bas .
Keadaan cemas semasa melalui jeram
14hb April: Dalam kesamaran kabus pagi dan sungai yang begitu lebar  kami bertolak dari Kuala Krai dan tiba di Temangan lewat petang itu dan kami bermalam di situ.
15hb.April: Bertolak dari Temangan di awal pagi dan meneruskan perjalanan sehingga waktu malam dari Kemubu menuju Kota Bharu.Malangnya rakit kami terkandas di atas benteng pasir di Lemal,Pasir Mas.Akibat keletihan dan tidak berdaya hendak menolak rakit,.Kami tidur sahaja di atas rakit..
Menolak rakit ketika menuruni jeram
16hb April: Setelah mengambil sarapan pagi di Bandar Pasir Mas,kami bertolak menuju Kota Bharu.Pejalanan terlalu lambat kerana arus sungai begitu perlahan.Kami selamat sampai di Kota Bharu pada jam 4.45 petang. dan mendarat di Tambatan Di Raja .Pengembaraan berakit selama 6hari 5 malam berakhir.

Perjalanan yang sugguh memenatkan
    

Friday, November 18, 2011

Kaki.. oh kaki!




                                                                 

 Sudah dua hari aku tidak keluar rumah.Turun ke tanah pun tidak.  Apalagi hendak pergi mengerjakan solat di Masjid.

   Semua ini gara-gara kakiku.Entah macam mana ia menjadi merah,berdenyut-denyut dan bengkak di bahagian atas kekura kaki.Sakitnya tidak terperi bila aku cuba berjalan.Mula-mula terenjut-enjut,lepas tu tidak tahan lagi hendak bergerak jauh.

    Aku yakin  itulah serangan "Ghout"yang banyak berlaku ke atas kaum lelaki!

   Aku cuba mengagak puncanya.Sehari dua sebelum itu aku menghadiri satu majlis pertunangan, kemudian majlis perkahwinan dan akhir sekali aku diundang  oleh seorang rakan  jemaah menghadiri kenduri berhampiran rumahku.Aku tidak mengambil nasi ,sebaliknya mengambil laksa dengan ulam serta kuah lemaknya. Itulah puncanya.Ulam nya mengandungi kacang panjang yang dipotong kecil-kecilan,

   Aku memang alahan dengan kacang panjang,walaupun sedikit ia tetap mengundang padah  buat kakiku.

   Walau bagaimana pun aku tetap bersyukur, Allah mengenakan ujian kepada kakiku.Ia tidaklah seteruk mana berbanding dengan orang yang  kena potong kaki,yang    putus kaki , yang hilang kaki dan yang tempang kakinya.

Tuesday, November 1, 2011

"Mah" dan "Mah"

 Sudah menjadi kebiasaan dan amalan yang baik untuk ziarah menziarahi sanak saudara jauh dan dekat.

Dua tahun yang lalu (2009)semasa kami mengerjakan ibadat haji di Makkah,kami berkesempatam ,menziarahi   seorang ahli keluarga     yang   sudah berpuluh tahun tinggal   di Makkah dan telah  menjadi warga negara Arab Saudi. Kami di sambut mesra  dan diraikan dengan hidangan nasi arab. Kenangan di rumah Mak Ngah Mah tidak pernah kami lupakan dan aku mencatatkan segala pengalaman menemuinya di dalam halaman  sebuah blogku .
Bersama Mak Ngah Mah di Makkah
                                                                             
Baru-baru ini (November 2011) kami  menerima berita tentang kepulangan Mak Ngah Mah ke Malaysia.Kami gembira dan ingin menemuinya .Aku memperolehi maklumat tarikh kepulangannya  berserta  nombor telefon.Kami  berjaya menghubunginya pada suatu hari dan mecatat alamat tempat tinggalnya di Kelantan.

 Pada suatu hari Sabtu,sebaik sahaja selesai menghadiri kuliah agama di sebuah Masjid di tengah-tengah bandar Kota Bharu,aku dengan ditemani isteri terus ke pekan Labok,berhampiran Macang untuk menemui Mak Ngah Mah. Tidak  sampai pun sejam perjalanan,walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai, kami tiba di Labok pada jam 12.00 tengahari. 
                                   
Dari rumah Mak Ngah Mah,berjalan menurun bukit
                                        
Kami  melalui jalan kampung dan sesudah dua kali kami berhenti bertanya penduduk kampung lokasi yang dituju,kami akhirnya tiba di halaman rumah tempat Mak Ngah Mah menginap.

Kami di bawa ke sebuah bilik di tengah  ruang rumah kayu yang agak besar untuk menemui nya.Ketika itu ada beberapa orang tetamu di situ.Setelah memberi salam aku duduk di atas tikar dan memandang sekeliling .Tidak sabar hendak menentang mata Mak Ngah Mah.

Bersama Mak Su Mah di Macang.
Tiba-tiba aku tercengang,tergaman seketika kerana orang yang hendak aku cari tiada di situ. Aku rasa isteriku juga berperasaan sedemekian  .Hendak aku bertanya di mana agaknya Mak Ngah Mah, lidah aku menjadi kelu.  Aku merenung  wajah seorang wanita yang aku rasa Mak Ngah Mah itu,tetapi raut wajahnya kelihatan lebih muda   dan kulitnya cerah sedikit. Tetapi itu mungkin kerana perubahan iklim di Malaysia.

"Ini kah yang menalipon  dan mencari Mak Ngah Mah semalam ? "wanita itu bertanya   padaku.
"Ya, kami lah orangnya  ..." aku menjawab selamba.Hati kecil ku membisik yang wanita itu bukannya "Mak Nah Mah "yang kami cari. Kami sudah tersalah orang !

"Mak Ngah Mah akan pulang ke Malaysia selepas  musim haji ni nanti" sambungnya sambil tersenyum.Dia juga sudah pasti yang kami tersalah orang.

"Ambo ni anak angkat Mak Ngah Mah. Disini dan di Makkah ambo dipanggil Mak Su Mah  .Lusa akan berangkat kembali ke Makkah ".

Sudah jelas kami tersilap.Patutlah semasa berbual ditelefon ia  menyatakan yang dia tidak ingat namaku. Aku hanya senyum,dan cuba menyembunyikan perasaan.

"Mak Su tinggal berdekatan Masjid Jafali,tidak berapa jauh dari rumah Mak Ngah Mah."dia menyambung bicara dan kami terus berbual mengenai Makkah.
                                         
Kami menyerahkan sehelai kain sejadah  untuk disampaikan kepada Mak Ngah Mah di Makkah  dan meminta izin untuk  pulang ke Kota Bharu setelah selesai menikamati sedikit kueh dan minuman air zam-zam.

Dalam perjalanan pulang ,kami saling berpandangan dan senyum sinis.Patutlah."Mak Ngah Mah" tu  kelihatan lebih muda.Pengalaman yang sungguh melucukan.


Kami baru sedar di Kelantan panggilan nama "Mah" itu ada dua loghat yang berlainan.Pertama "Mah" dari sebutan contohnya "Rumah" dan kedua "Mah" dari sebutan contohnya "Mahkamah".

Ternyata "Mah" yang kami temui ini bukan lah " Mah" yang kami kunjungi di Makkah dulu .Walau bagaimana pun  kunjungan kami itu tidaklah sia-sia.Banyak maklumat dapat kami perolehi tentang keadaan keluarga di Makkah.

Insyallah,bila berpeluang kami akan ke Makkah lagi dan kali ini kami akan meziarahi kedua-dua "Mah" dan "Mah" !

Saturday, July 2, 2011

Sesiapa pun tak terlepas


                                                           
Pada 27hb Jun 2011,aku menerima kunjungan seorang sahabat sejawatan.Sudah hampir dua tahun kami tidak berjumpa dan pertemuan petang itu cukup bermakna.Selain dari membawa buah salak hasil tanaman sendiri sebagai buah tangan aku juga di hadiahkan dengan sebuah buku antologi puisi yang bertajuk .'Titisan wuduk pemimpin di Tasik Pergau".mengandungi 11 puisi ciptaannya.

                                        

   Sebagai menghargainya ,aku turunkan di sini salah satu dari ciptaan sajaknya yang amat menarik.                 

SESIAPA PUN TAK AKAN TERLEPAS

Sesiapa pun yang menolak Al Quran dan Sunnah perangilah mereka
Sesiapa pun yang memisahkan agama dengan  politik perangilah mereka
Sesiapa yang memusuhi ulama perangilah mereka
Di akhirat Allah sediakan mereka neraka yang baka,

Sesiapa mengangkat pendusta sebagai pemimpin  kutuklah mereka
Sesiapa pun yang memenjarkan  kebenaran kutuklah mereka
Sesiapa pun yang melepaskan koruptor dari tabir besi  kutuklah mereka
Sesiapa pun yang melindungi keganasan kutuklah mereka
Sesiapa pun yang menkhianati janji  kutuklah mereka
Allah maha kuasa , Allah maha bijaksana
Allah telah menyediakan tanya untuk ditanya
Allah telah menyediakan jawab dengan apa yang mereka kerja
Allah telah menyediakan neraka untuk dirasa

Suatu hari , hari tak bernama
Sesiapa pun dipapah ke padang bicara
Tiada peguam bistari yang dapat mereka fakta
Perlembagaan Mat Salleh telah menjadi bara neraka
Perlembagaan Allah di depan mata
Mulut dipasung tidak boleh berkata
Tidak ada penangguhan  ulang bicara
Yang mendusta ,yaqng korup , yang menderhaka
Mandeton dihumban ke neraka

Sesiapa pun
Sementara  hari masih bernama
Dan esok masih ada
Pintu keampunan masih dibuka
Sujud taubatlah kepadaNya
Dengan taubat Nasuha,

Cikgu  Him,
Wakaf Bharu,
27  September,2010.






Saturday, June 25, 2011

Ketika itu........

Wajah seorang guru
                                                                      
   Pada tahun1960, ketika   itu aku  berada di "Form One" .Aku baru tiga tahun berpindah dari Sekolah Melayu ke sekolah Inggeris(suwasta) di Kota Bharu.Pelajar lelaki  berseluar pendek kelabu dengan baju kemeja putih manakala pelajar perempuan memakai skirt berwarna merah gelap (maroon).Suasana sungguh menarik sekali ketika kami berada dalam perhimpunan di awal pagi minggu.
 
   Di  antara guru  kami, Cikgu Nik lah (nama singkatnya) yang paling popular.Ini bukanlah kerana kejelitaannya  sahaja, tetapi ketegasan,kelembutan dan yang paling menarik kegigihannya mengajar subjek Bahasa  Inggeris.Kami benar- benar terhutang budi,kerana dalam hanya beberapa bulan kami dapat menguasai asas bahasa inggeris.Pada dua tahun pertamanya  aku mengikuti Kelas Special Malay I dan II.Ketika itu buku tek bahasa Inggeris berjudul "Look and Read" dan "Who Am I ". 

   Cikgu Nik adalah seaorang pendidik dan seorang guru.Dia bagaikan seorang ibu yang amat menyayangi  anak-anak dan mengenali setiap watak anak didiknya dengan baik.Dalam usianya yang begitu muda dia berjaya menjiwai tugasnya dan menjadi sumber inspirasi kepada kami semua.

   Pada tahun 1962,semasa di  Form 2,aku "mencuri"   belajar di kelas tingkatan 3 disebelah petang dan malam. Aku  berjaya mengisi borang untuk menduduki Peperiksaan LCE.Alhamdulillah,diantara 6 rakan yang ikut bersama,aku dan seorang lagi rakan lulus .  Pada tahun berikutnya aku melompat ke Form 4 dan pada tahun 1964 menduduki peperiksaan MCE/SC (Malaysian Certicicte of Education / Senior Cambaridge_)_.Aku berjaya mendapat Second Grade.

    Guru Besar  mempelawa aku untuk mengajar.Aku menerima pelawaannya dan mulai 1965 aku sudah bergelar seorang guru.Aku ditugaskan untuk mengajar history,sains dan Bahasa Malaysia di Standard 6,form 1 dan form 2 disebelah petang.Gaji permulaan Rm 180.00 sebulan.Lulusan  Institut Bahasa (LI) bermula dengan Rm210. Yang penting bagi aku ialah menimba pengalaman dan menjadi manusia dewasa.

   Ketika itu Cikgu Nik masih mengajar di kelas bawahan.Bagaikan mimpi ,kami menjadi rakan sekerja dan beliau terus juga memberikan aku tunjuk ajar yang amat berharga.

   Hari ini pada setiap pagi Jumaat ,ketika mengikuti kuiah agama di Medan Ilmu,aku seringkali melihat Cikgu Nik berjalan dicelah-celah barisan orang ramai  ,memilih tempat  duduk dan  melambai seraya senyum apabila sahaja ia   nampak aku bersama isteri.

   Aku  percaya, seorang guru  sejati akan terus menimba ilmu dan meralisasikan kata-kata "Belajar sepanjang hayat".dan Cikgu Nik adalah salah seorang  guru seperti itu.DIa telah mendidik aku mengikuti jejak langkahnya. Aku melihat,ramai pesara guru yang  sebaya dengannya, banyak melancong dari satu negara ke satu negara yang lain.Itulah pengakhiran hidup yang mereka pilih.

   Cikgu Nik lebih fokus kepada pengisian hidup bertaqwa dan menuntut keredaaan Allah. Itulah amalan saki baki hidupnya kini.

    Dialah seorang cikgu,seorang pendidik dan seorang penuntut yang istiqamah dengan   amalannya.

    Aku bersyukur kerana ditemukan Allah dengan seorang guru sepertinya.

   Beberapa tahun kemudian aku di tugaskan untuk mengajar di tingkatan 5 dan 6.Ia amat mencabar  aku memikuil tanggungjawab sebagai guru disiplin.

Thursday, June 9, 2011

Cerita kematian

                                                                                                                        
                                                           
           Kali ini aku terpanggil untuk menulis lagi tetapi bukan soal pelancongan,kisah diri,hobi atau perjuangan hidup,tapi tentang kematian. Biarpun adakalanya cerita tentang kamatian tidak seenak cerita sek atau cerita-cerita romantis,aku bertekad hendak menulisnya juga.

                      Masih aku ingat dengan jelas,malah selalu segar dalam ingatan hari-hari kamatian yang  datang menjenguk  ayahku di penghujung usia nya sesudah sakit berbelas-belas tahun lamanya. Zamanya yang suka berkerja    kuat,
kegigihannya turut bejuang dalam politik Islam dan minatnya membawa anak-anak  melawat serta menziarahi keluarga di kampung juga telah berakhir.

            Saban hari ia bersandar di kerusi roda melihat keluar rumah,mengagak-agak siapa  yang bakal datang  menjenguknya hari itu.Sekali sekala ia berbaring,tidur dan berehat seolah-olah menebus balik masa tidur dan  rehat  yang jarang dimilikinya semasa aktif dulu.Ia akan bangun dan mergerjakan solat sambil duduk di tepi katilnya bila tiba waktunya.

                 Di sepanjang waktu begini ,ibu lah yang menjadi teman dan pelayan setia.Makan minum ,mandi , kencing dan marahnya semua ditanggung dan diuruskan oleh ibu.  Ibu tidak  pernah berkerut  dahi   walaupun dalam keadaan
mukanya yang pucat (mungkin kerana tidak cukup tidur) ia sekali sekala  membayangkan keahampaan kerana semua anak-anak tidak tinggal serumah.Masing-masing sudah berkeluaraga dan mempunyai rumah sendiri,termasuk aku.Separuh dari lapan orang anak-anak  menetap di Kuala Lumpur.  Anak-anak akan  datang menjenguk dan berbual mesra dengan ayah,di hari minggu atau di waktu lepas kerja.

             Rasanya ,akulah  yang  kerap datang  mejenguknya beberapa hari seminggu  di saat akhir hayatnya.Gerak hatilah yang menjadikan aku begitu.Itu sememangnya dari Allah. Selalunya kami makan  bersama dan sebelum ia tidur ,
ayah banyak bercerita  mengenai pengalamanya di zaman Jepun ,tentang susurgalur keluarga dan kisah lucu (semasa berkhidmat di istana Balai Besar).

            Sudah menjadi  kebiasaan atau rutin,setiap minggu,khasnya pada malam khamis dan jumaat,selepas menghadiri kuliah agama di masjid berdekatan, aku akan singgah menjenguk ayah.


              Pada hari Rabu,25hb.Februari,1985 ,seperti biasa sebaik sahaja selesai  menghadiri kuliah Maghrib dan Isya di Masjid Pulau Melaka,aku bertandang ke rumah ibu.Ayah duduk di ruang tamu dan belum makan  walaupun telah dipelawa bekali-kali oleh ibu.

        "Nasi dah nak sejuk,makanlah dulu.."ibu seringkali  mempelawanya begitu....
              "Tak apalah , kita tunggu dia (aku)....." itulah selalu jawapannya,

               Jam sudahpun menunjukkan 9.15 malam,aku membantu ayah duduk di atas kerusi roda dan menolaknya ke ruang  dapur .Adakalanya  ketka menolak, aku mengangkat roda kecil di hadapan sehingga tergantung dan ayah tersandar
kebelakang.Ayahku gelak  bercampur takut .Kami bergurau sebenarnya.Itu yang menghiburkannya  sekali sekala.

           " Ada tak sambalnya.....?"ayahku bersuara ketika hendak menjamu selera. .
          " Tak...kenapa tak cakap tadi.Ni gelap sangat kat tanah tu,seganlah nak turun ambil lada..." jawab ibu.
            " Esoklah kita buat sambal....."sambung ibu lagi.

             Ayah tidak berkata apa-apa dan terus makan.Aku ikut  menemaninya .

           Sejam kemudian,ayahku sudah pun mula berbaring untuk tidur.Aku keluar kebilik tamu dan berbual dengan ibu tentang berbagai hal keluarga sehingga jam 12.00 tengah.malam,.kemudian meminta izin untuk pulang kerumahku yang terletak empat kilometer sahaja jauhnya.
           
       Pada Jam 5.00 pagi itu aku menerima panggilan telefon dari ibu yang memberitahu bahawa ayahku sesak nafas.

          Aku  bergegas ke dapur untuk minum segelas susu dengan  niat untuk berpuasa keesokannya dan belum pun sempat aku melangkah keluar rumah ibu menalipon sekali lagi.Ayahku sudahpun kembali menemui tuhannya...Innallillah waiinnalillahi rajiun..!Hanya abang dan ibu yang berada disisinya ketika itu.

         
            Dahinya masih terasa panas ketika aku menciumnya kemudian.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..

           Rupa-rupanya   gurau senda ketika hendak makan dan cerita sambal malam itu adalah episod terakhir bagi ayahku.Kami jahil dalam memahami tanda-tanda kematian.Allah jua yang maha mengetahui .

             Kehidupan akan berakhir dengan kematian.Itu pasti !Sebaik atau seindah mana pun kehidupan ia tidak sama dengan kematian.Hilai ketawa  ,megah dan sombong  atau kuatnya seseorang apalagi jika ia seseorang yang berpengaruh atau punya kedudukan tinggi dalam negara tidak akan terdapat lagi pada saat ia menempuh kematian.

             Alangkah baiknya jika di penghujung usia (70/80han) di habiskan untuk bersama keluarga,berdakwah dan bukan untuk memasarkan komen negatif,mengkritik orang lain dan bermegah dengan pengalaman berkuasa.Biarlah  di saat begitu kita disenangi, dikeliling saudara dan sahabat handai apalagi rakyat jelata.

         Semoga pemergian kita nanti direstui dan ditangisi apabila ia benar-benar dirasai sebagai satu kehilangan.            
      

Saturday, May 21, 2011

Tirulah macam ni.......

Himpinan 10k di Padang Perdana









                        

     20hb Mei,2011,Jumaat bersamaan 16hb Jamadil Akhir 1432, adalah hari yang bersejarah bagi puluhan ribu anak-anak muda Kelantan berhimpun dalam Majlis Himpunan 10k pemuda yang di adakan di Padang Perdana ,Kota Bharu.Majlis bermula dari seawal jam 3.00  petang dan tamat menjelang 1.00 pagi yang turut di hadiri oleh Dato Bentara Setia ,Tok Guru Dato Nik Abd.Aziz Nik Mat,Menteri Besar Kelanatan,Ahli-ahli Exco Negeri termasuk Yb Dato Husam Musa,Yb Abd Fatah Mahmood,Yb Ahmad Baihaki,Yb Abdul Latiff Abdul Rahman dan turut disertai oleh selebriti terkenal ,Sdr Bob Lokman.
  
Membaca dan khatam Quraan
    Kemuncak himpunan ini ialah apabila puluhan ribu anak-anak muda dengan disertai ibubapa turut sama menunaikan solat Maghrib,kemudian membaca dan khatam Quraan beramai-ramai di ikuti dengan sembahyang hajat dan bermunajat.Akhirnya mereka semua duduk bersimpuh mendengar  ucapan dan saranan Yb Tok Guru.

                            



Tekun membaca  Quraan
                        
    Bayangkan masa depan negara jika puluhan ribu anak-anak muda ini,yang  di disiplinkan dengan solat,zikir dan munajat membesar dan mewarisi pemerintahan dan pentadbiran negara. Suasananya berlainan sama sekali denga himpunan  1 juta belia  yang diwarnai dengan gelak ketawa,nyanyian dan bercampur gaul antara lelaki dan perempuan.Apalagi ada yang hadir dengan pakaian yang kurang sopan.
                              
Berzikir dan berdoa munajat

                             
    Dimana-mana sahaja jelas terpancar harapan dan keyakinan anak-anak muda ini,bahawa negara akan lebih selamat dan makmur  apabila tangan-tangan yang memerintah  adalah mereka yang berjiwa agama,bertaqwa dan berpegang pada amalan jihad.


Menurun tandatangan di kain rentang putih
  
     Ribuan anak-anak muda ini turut juga menurunkan tandatangan di kain putih yang direntang di sekeliling Padang Perdana untuk menyatakan sokongan terhadap tuntutan royalti minyak Kelantan.


                             
Jom tandatangan !
      Apakah Boleh keadaan atau suasana begini diwujudkan di tempat tempat lain.Dan berbaloikah jika pada sebelah siangnya manusia  menipu,melakukan kezaliman dan fitnah manakala di sebelah malamnya sujud dan bermunajat kepada Allah.
Lautan pemuda dibawah sinaran lampu
                          
    Sesungguhnya,dalam Islam tidak ada amalan "Double Standard"
   



Pemudi yang ikut serta
     Hanya biawak atau buaya sahaja yang sekejap berada di air,sekejap di daratan.Lidah biawak pula bercabang dan badannya selalu  bersalut dengan kekotoran lumpur . Janganlah  ditiru gaya hidup begini.

Tirulah gaya anak-anak muda yang berhimpun tadi.