Followers

Friday, April 6, 2012

Hingga kini jua..



                         
                                                                            
  Sudah menjadi  lumrah dalam kehidupan  apabila sampai waktunya seseorang itu terpaksa mencari jodoh untuk berkongsi hidup.

  Aku juga tidak terkecuali. Dari usia yang  agak muda aku telah mula mengintai-intai gadis yang bakal menemani hidupku.Akhirnya  pada usia 24 tahun aku rasmi menjadi seorang suami.Isteriku berusia 22 tahun!

  Kini sesudah 43 tahun bersama,kemesraan masih utuh juga malah ada kalanya kami menjadi semakin manja dan sensitif.Walaupun anak-anak tidak tinggal  bersama (semuanya dan berumah  tangga dan memiliki kediaman sendiri masing-masing) kami tetap serasi dan
rapat.Kemana-mana pun, berdua-duaan.



  Masih teringat,ketika mula-mula kahwin dulu ada  seorang teman sekerja memberikan komen sinis :

 " Itulah orang Melayu,muda-muda lagi dah kahwin,Pergi masuk universiti dulu,dapat gaji besar...baru kahwin!". Kalau hendak aku ikut kata-katanya,bermakna ketika aku mula bersara,  anak sulungku baru memasuki darjah satu! Aku tertanya-tanya apabila dia ada keinginan terhadap wanita,kemana dia bawa dirinya dan bagaimana dia melayan perasaannya ketika itu.Dia masih menahan dirinya untuk berkahwin. 

Aku  yakin dengan kata-kata:"Kalau dah ada  keinginan dan persediaan,kahwin lah sahaja,rezeki anak-anak terletak di tangan Tuhan."

 Natijahnya, kesemua anak-anakku berjaya ke universiti dan memiliki perkerjaan  dan kehidupan yang baik meskipun sebagai seorang bapa, aku bukan bergaji besar!

   Aku teringat  antara kandungan kitab Sirasalikin yang menyebut apabila memilih bakal isteri,ada beberapa perkara  atau ciri-ciri yang mesti di utamakan:

       Pertama  : Mempunyai agama (Solehah)
       Kedua    :  Baik tingkahlaku dan akhlaknya.
       Ketiga    :  Elok rupa parasnya.
       Keempat:  Rendah mas kahwinnya.
       Kelima   :  Subur ( mampu melahirkan ramai anak)
       Keenam :  Yang Dara
       Ketujuh  : Dari bangsa dan keturunan yang baik.
       Kelapan :  Yang bukan dari kaum kerabat.
  
Aku bersyukur kerana mempunyai  seorang isteri  yang  memiliki ciri-ciri di atas terutama yang pertama dan ketujuh.Aku banyak menumpang tuahnya.

Sehingga kini ,makan minum aku dan anak-anak (ketika bersama) dilayanya seperti dulu juga.Sebagai isteri ,ia tidak pernah serik atau jemu memasak sendirian  malah itulah hobi utamanya.Dia tidak begitu gemar  dengan sikap aku yang suka membeli makanan dari luar.

Kelemahanku ternyata dari dulu sehingga saat ini tidak banyak mengucapkan kata-kata terima  kasih,apalagi hendak memberi komen atau memuji hasil masakannya.  Aku tahu  makan sahaja namun  dia tidak ambil kisah , marah atau merajuk atas sikapku sedemikian. 

Selalunya,jika ada tetamu ,sahabat atau ahli keluarga bertandang,dia lah yang paling sibuk memasak dan menyediakan juadah.Aku selalu rasa kesian tetapi  ia tidak suka  aku menunjukkan simpati.Baginya,   itu  adalah tanggungjawabnya .

Aku percaya,dari hasil tangannya itulah  Allah memberikan anak-anak kami keberkatan.  Dalam kesedarhanaan ,kami menikmati kesejahteraan dan kebahagiaan.Setiap kali apabila anak dan cucu bertandang ke rumah aku tidak pernah mendengar  aduan atau  komen mengenai laukpauk yang dihasilkan ibu mereka.Mereka sudah menjadi sahabat yang begitu rapat.

Sifat sabar dan rajin yang dimiliki isteriku dalam  masak memasak untuk seisi keluarga telah  jadi sebati dan tidak pernah aku menerima keluhan  dan rasa menyesal yang diluahkannya selama ini.

Hanya ada kalanya setelah  selesai menjalankan tugasnya,ia  biasa datang merengek di sebelahku  meminta aku mengurut belakangnya dengan minyak . Aku berbuat sahaja apa yang diminta olehnya.Di saat itulah sifat manjanya terserlah dan kami seringkali bergurau jenaka. 

Hingga kini ,senario begitu  terus berlaku  dan aku rasa itulah mungkin caranya aku mengucapkan terima kasih  kepadanya yang selama ini  terus komited dalam menjaga makan minum aku dan anakcucu kami dengan baik.

Semoga kehidupan yang kami jalani terus diberkati dan dirahmati Allah .

Kepada isteriku tercinta,segala pengorbanan dan penat lelahnya  terubat apabila besama aku,banyak menghabiskan sisa hidup harian di masjid pada sebelah malamnya.

Hingga kini jua, Allah memberikan kami kekuatan  dan ketenangan bagi meneruskan hidup yang sebegini rupa.  



















No comments:

Post a Comment