Followers

Tuesday, December 21, 2010

Ada ketikanya........




                   
Melancong bersama seluiruh keluarga
                                           
                                                       
 Dalam kehidupan keluarga suasana suka dan duka silih berganti. Kewujudannya tidak menentu.Ia boleh jadi lama dan mungkin saketika sahaja.

Apapun,suasana suka dan duka masing-masing mempunyai implikasinya.Suasana suka  menceriakan keluarga manakala suasana duka boleh pula memecahbelahkan keluarga.

Menziarahi sahabat handai
                                                                                   
Itulah hakikat hidup.Kami sudah banyak kali  menempuh kedua-dua  suasana begini.Alhamdullillah, keluarga semakin utuh dan bersatu.Pengalaman-pengalaman yang lalu banyak mengajar dan memberi inspirasi kepada keluarga untuk terus berubah dan menambahbaikkan lagi  kualiti hidup.

Sebagai manusia biasa,kami berjaya  membina ikatan keluarga ,sememangnya secara sedarhana.

Membawa anak-anak ke zoo
                                                                             
Rahsianya: Semuanya berkumpul dan bersatu dalam banyak hal dan urusan.

Ada ketikanya   semua anak-anak membahagikan masa untuk bergilir--gilir  menjaga ibu atau bapa yang sakit.Setiap orang mematuhi jadual dan peraturan  yang disepakati bersama.

Ada ketikanya seluruh keluarga berkumpul dan menikmati makanan dan jamuan .Kemudian berbual-bual sampai larut malam.Kadangkala sampai pagi.

menziarahi keluarga tertua.
                                               
Ada ketikanya, seluruh keluarga melancong bersama , menziarahi sanak saudara dan sahabat handai.Paling menarik ialah apabila adik beradik yang tinggal berjauhan bersetentang mata,berpelukan mesra ,kemudian makan bersama sambil bercerita kisah-kisah lama dari zaman kanak-kanak sehingga setelah menjadi dewasa.Selalunya banyak cerita yang lucu dan menghiburkan.
  
Anak-anak yang beruntung
                         
                                                                        
Yang paling beruntung bila suasana suka begini terjadi ialah anak-anak remaja dan anak anak kecil kerana mereka  dapat ikut bersama menikmati acara-acara yang diatur,menikmati makan di luar dan memperolehi hadiah barangan cenderahati.

Ada ketikanya mereka ikut sama menyelami pelbagai perasaan keluarga,menjalin hubungan yang lebih intim dan aman.
            
Suasana riang bersama
                                                                             
Ada ketikanya ,semasa keluarga berkumpul beginilah ,anak-anak akan memahami serta  mempelajari erti kemanusiaan ,tradisi keluarga , kasih sayang  dan kesetiaan !

Jikalah anak-anak kita seramai ini.....
                                                                     
Sayangnya, diluar sana masih ramai remaja  dan anak-anak dibiarkan,tanpa kasih sayang dan  perhatian.

Ternyata,kepentingan  untuk  orang dewasa masih mengatasi kepentingan  untuk anak-anak!

Wednesday, November 24, 2010

Bila isteri tidak sihat....



Dalam pelukan suami
                                                        
   Dalam kehidupan berumahtangga,setiap pasangan  ingin mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan.Lebih-lebih lagi setelah melalui perkongsian  sepuluh tahun ke atas lamanya.

     Namun ada kalanya terdapat  sengketa atau konflik yang sedikit sebanyak boleh
megeruhkan  suasana hubungan.

     Betullah seperti kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee ."Sedangkan lidah lagi tergigit,apa pula suami isteri...buang yang keruh ambil yang jernih..baru teguh peribadi.."

     Begitulah juga detik-detik hidup yang kami tempuhi setelah lebih empatpuluh tahun bersama.Asam garam,pahit dan manis telah  kami sama-sama rasai dan kini setelah  anak-anak telah dewasa dan mempunyai keluarga serta rumatangga sendiri,masing-masing telah berdikari.

    Tinggallah kami berdua menyambung hidup yang masih berbaki.Walaupun anak-anak sentiasa berhubung dan kadangkala ikut bersama, kami rasa lebih selesa bila berdua-duaan sahaja. Hidup  bebas dan lebih romantis berbanding beberapa waktu dahulu.


    Rupa-rupanya   ada satu lagi episod hidup ,yang kami belum tempuhi dengan penuh erti dan emosi, ia itu apabila isteri tersayang tidak begitu sihat dan jatuh sakit dengan tiba-tiba. Dulu ia tidak merisaukan sangat kerana anak-anak  berada di sekeliling dan  sedia membantu.Kini  senarionya  berbeza.

    Suamilah yang mainkan peranan segala-galanya.Memasak,melayan,mengurut dan melegakan sakit-sakit sendi dan menjaga waktu makan minum ubat-ubatan.Adakalanya  menjadi pakar motivasi,penasihat dan penghibur.

    Pendek kata,saban hari soalan-soalan begini diajukan;

    "Dah makan ubat ?"
    "Ni , you nak makan apa?"
    "Sakit lagi  ke..you nak I urut kat mana ?"
    " Freshmilk dah minum pagi ni ?....."
    " Pagi ni you nak makan apa?,nak I buat scrable egg ke?"
    " Mana satu kain baju yang you nak I cucikan ?"
    " Ni nak keluar solat kat masjid,jaga diri kejap aje ok?"
    " You sayang kat I ke?""

   Dan banyak lagi.Rasanya tidak pernah sunyi melayan soalan dan memberi jawapan.  

      Namun sekali sekala perasaan takut dan bimbang menguasai diri bila memikirkan jika ditakdirkan dia dijemput  lebih awal untuk menemui Allah.
Justeru itu  kami tidak berenggang jauh (kecuali bila ke masjid )

      Kesabaran diri adalah penentu kesinambungan hidup seharian.

      Suatu malam, ia memenggil aku dan berbisik perlahan;

      "Boleh tak you peluk I  kejap..nanti bila I dan lena you bolehlah pergi tengok bola "

      Bermacam-macam andaian bermain dikepala. Mengapa tiba-tiba jadi begini pula  sikapnya sedangkan sejak berpuluh tahun dahulu lagi beliau tidak pernah mengajukan permintaan begini .Aku pendamkan perasaan.

      Aku  ikut sahaja kehendaknya sebelum keluar  menonton siaran langsung English Premier League di bilik sebelah.Itu pun sesudah aku mendengar ia mula berdengkur.
 
      Perasaan bimbang dan cemas hilang di tengah-tengah sorakan dan tepukan gemurah para penyokong   Manchester United  ,bia ia berjaya mengalahkan Manchester City!

Saturday, November 13, 2010

Lompat si katak lompat

                                                                      

     Musim hujan dah bermula, Alor Setar dah di banjiri air,banyak kata-katak dihanyutkan air deras.Tidak lama lagi Pantai Timur akan dilanda musim tenkujuh  Di luar riuh rendah sang katak memanggil hujan,ada yang  menyanyi dan ada yang ngomel-ngomelan.

      Ada juga katak yang memerhati  orang lain dan mula ajukan komen dan kritik.Ada yang mula berani buat cadangan.

      Negara kita kaya dengan  katak.

      Ada katak Puru, gatal dan asyik kritik mengkritik  aje.

      Ada katak Pisang., hidup nak cari makan sahaja

      Ada katak Kembung ,dan yang ini tidak senang melihat kejayaan orang lain,sealalui sekak dan merapu.

    .Ada katak  Hijau.,katak kuning, katak biru...katak Merah.pendek  kata disekeliling  kita ada katak.

Ada katak kena  bedah.(Di sekolah dulu katak di bedah di makmal sains untuk kajian)

     Yang terkini,katak mulai cari  pengaruh,kumpul geng dan hendak menjadi pemimpin agung.Sudah ada ura-ura nak menubuhkan parti baru  yang  mungin akan   diberi nama sebagai Front Katak .Motifnya untuk memperjuangkan keadilan Dah ramailah penyokong katak.Hebat lah ni agaknya.

     Sayangnya katak-katak ini lupa bahawa  mereka bakal  menjadi buruan ular terutama ular sawa yang kuat dan berpengaruh yang akan membelit  sekuat-kuatnya dan akhirnya  menelan mereka satu persatu..
                    
Akhirnya ditelan ular.....
                                                                
      Katak melompat lagi mencari perlidungan..kena lompat untuk survival.

     "Lompat katak lompat....lompat,lompat ..depan ada ular !""(pinjam lagu versi P Ramlee)

      "mana ?"

      "lompat !"

      "Aiyaa.......! 

      Dulu ,anak-anak selalu  menyanyi beramai-ramai.


      "Katak O  katak,kenapa kau panggil hujan"


       "Macam mana aku tak panggil hujan,ular nak makan aku..."


       "Ular O ular ,kenapa kau nak makan katak...""


        "Macam mana  akau tak makan katak...memang ia makanan aku !"


         Katak-katak semua...memang nasibkau lah macam tu!

Monday, November 8, 2010

Wow..246,000 orang jemaah haji !


Jemaah memenuhi jalanraya
                                             
                                                  
Hari ini ,1hb Zulhijjah 1431,para jemaah haji telah mula memenuhi kota suci Makkah,dan kira-kira seminggu lagi mereka akan bertolak  ke Arafah untuk menunaikan rukun haji yang ketiga iaitu berada di Arafah untuk melakukan Wukuf  pada hari kesembilan sebelum bermabit di Mudzalifah dan saeterusnya ke Mina untuk melakukan lontaran.

Mengikut perangkaan,dari jutaan jemaah haji yang hadir
ini 246,000 orang adalah dari Indonesia berbanding dengan 26,000 orang  dari Malaysia .Jumlah yang besar dari Indonesia ini ialah sejajar dengan kuota yang diperuntukkan oleh Pihak Berkuasa Arab Saudi berdasarkan jumlah penduduk..

Apa yang menariknya dari jumlah  besar 246,000  orang jemaah  ini , ratusan  ribu orang  jemaah terdiri dari golongan muda.Rata-rata anak-anak muda ini berada dalam kumpulan untuk melakukan ibadah haji sama ada  ketika tawaf.,saei' atau melontar.

'Program Haji Muda "telah lama dijalankan di Indonesia.Hampir  70% jemaah haji dari Indonesia terdiri dari  golongan anak-anak muda.Pemergian mereka ke tanah suci sebahagian besarnya dibiayai oleh 'Bank Mandiri'.

Apakah nanti akan terdapat inisiatif sebegini di Malaysia ?.

Ketika anak-anak muda Indonesia sedang mengelilingi Kaabah atau melakukan saei,anak-anak muda di Malaysia pula berpusu-pusu dihub hiburan ,mengunjungi supermarket dan pusat-pusat rekreasi.Lebih  menyedihkan, di masa yang sama ramai yang merempit di-jalan-jalan raya.Ada yang maut seolah-olah membunuh diri .

Dr.Siti Mariah Mahmood,(Parlimen Kota Raja)ketika membahaskan baget 2011 menyatakan; "Sungguh menyayat hati apabila majoriti yang terjebak di dalam krisis akhlak ini adalah orang Melayu beragama Islam.Sekali gus telah memberi satu imej yang amat negatif kepada Islam dan Bangsa Melayu."

"Usaha beberapa kementerian hanya mempu untuk cuba merawat setelah sakit menjadi parah atau 'anologi penyakit barah' yang sudah merebak dan berada di tahap tiga atau empat"

"Banyak program yang dianjurkan kerajaan banyak menggalakkan dan membuka jalan kepada anak-anak muda untuk terjebak ke dalam kancah maksiat".
                                                              
Sudah sampai masanya kerajaan    mewujudkan program "Haji muda" (bukan sahaja Iman Muda) dengan ini  "moral policing' yang positif dan berhemah boleh direalisasikan sebagai   usaha mencegah serta mendidik anak-anak muda  supaya menghormati adab kesopanan masyarakat dan agama..

Pihak suwasta dan media utama negara boleh membantu  menjayakan program "Haji Muda" lagipun selama ini ,mereka telah banyak menganjurkan program sosial dan hiburan (yang menelan perbelanjaan yang tinggi) .
                                                           
                                                      
 Alternatif baru boleh juga diadakan untuk meminimakan kos perjalanan.Contohnya  di Eropah  sebuah kapal cruise "Costa Serena" yang moden  dan canggih belayar di antara Sepanyol dan Turki dengan membawa hampir 4,000 orang penumpang termasuk anak kapal.merentangi Laut Mediterranean..

Apakah Tabung haji (dengan bantuan kerajaan ) tidak boleh membina kapal"Cruise Haji" sebagai memenuhi keperluan  asas para jemaah dimasa akan datang.

Soal  kuota untuk jemaah haji dewasa tidak timbul kerana ramai yang ke tanah suci setiap tahun adalah terdiri juga dari mereka yang  sekali dua atau lebih mengerjakan haji.Yang wajib hanyalah sekali. Lain lah jika rata-rata  jemaah haji dewasa dan yang  tua  begitu tamak atau selfish hendak memberi laluan kepada anak-anak muda.
                                                                   
Sebahagian dari anak-anak muda Indonesia
                                                         
Selain itu "Dana  Khas "boleh dibentuk untuk menjayakan program "Haji Muda"dan tidak lah salah kita meniru cara orang lain kerana di dalam kebudayaan "meniru" sudah menjadi  salah satu trend penting dalam "Difusi kebudayaan"

Apakah rasional sebenar kita hendak membina "Menara Warisan"yang akan menelan kos  yang amat tinggi..Apakah tidak boleh digantikan dengan kapal "Warisan Haji" ?yang boleh menyelamatkan  anak-anak muda kita yang bakal mewarisi negara dengan  rasa takwa dan iman.

Sudah pasti anak-anak muda kita akan berterima kasih dan menjunjung tinggi pengorbanan kerajaan.

Sebaliknya mereka akan mempersalahkan dan mencemuh kerajaan yang khayal. dengan"Menara Warisan" dan hub hiburan kerana  semua ini tidak menjanjikan jalan terbaik untuk ke suyrga!

Sunday, October 31, 2010

Penyamun blog





Penyamun blog ?


                  Kita biasa mendengar kisah orang kena samun,wanita kena ragut begnya dan banyak lagi. Tetapi kita  tidak pernah mendengar ada satu lagi jenis penyamun, iaitu penyamun blog !

                  Itulah realitinya.
 
                  Aku masih ingat. Dalam blog entri pertama "Itulah Aku" yang dimasukkan pada  hari Selasa .6hb.Januari 2009  terdapat tulisan aku menngenai diri dan latarbelakang keturunanku di bahagian akhir blog.

                  Entah macam  mana bahagian itu sudah di"hilangkan".Namun  Ia masih boleh dibaca jika pembaca menghighlightkannya.(Aku tidak bercadang hendak menulis semula bahagian yang "dihilangkan itu.Terpulang kepada pembaca hendak melihat dan membacanya)

               Aku menyedari  perkara ini berlaku hanya selepas hampir setahun kemudian.Apakah sebabnya,dan bagaimana ia berlku tidaklah aku tahu.
               
            Aku percaya  ini bukan angkara pihak  admin . Rasaku ada penyamun yang menyamun blog orang lain !

                  Soalnya kalau ada sesiapa yang tidak suka atau irihati dengan bahagian entri blog aku itu,hubungi aku terus. Berterus terang sahaja.Aku tidak rasa marah atau sakit hati cuma hairan, macam mana ini boleh berlaku?

                  Aku tidak percaya  ada orang atau orang-orang yang berniat "tidak baik" dan sanggup "menganggu" hak orang lain.

                  Sebaik-baik nya berterus terang.Aku boleh di hubungi bila-bila masa.

                   Kita tahu dan kita sedar ,"Allah yang maha pemurah ,lagi maha penyayang"

                   Mereka yang  faham ini sahaja  sanggup bertindak secara ikhlas!!

               
                  A

Sunday, October 17, 2010

Kunjungan tamu istimewa




Tetamu  Istemewa
                                                                        
     Tanggal 16 Oktober ,Sabtu 2010 Jam 5.00 petang akan tetap di ingati kerana itulah saat  kami  dikunjungi  oleh seorang tetamu istimewa.Itu  adalah kunjungan buat pertama kalinya ke kediaman kami.

    Pertama kali kami melihatbya ,ialah pada 25hb Julai 2010 di Pusat Perubatan An Nisa,Kota Baharu. Itu adalah hari lahirnya  Muhammad Ezzaz Mustaqim.

    Dari semenjak tarikh itu,kami berulang alik selama lebih dua minggu  menemai dan  memandikanya setiap pagi.Kini usianya telah menjangkau tiga bulan.

    Setelah hampir tiga bulan,Muhammaad Ezzaz Mustaqim akhiarnya muncul
dipintu rumah kami bersama ibu dan kakak-kakaknya.Ia sungguh ceria dan   banyak berkata-kata (bersuara) seolah-olah bertanya khabar dan  melepaskan rasa rindu kerana sudah beberapa hari kami tidak mengunjunginya.

    Kunjungan pertama kali itu sungguh bermakna dan nostalgik  buat kami yang  dipenggil "Tok Ma" dan "Tok Ayah".Suasana mesra dan aman dirasai.

    Kami  tinggal berdua sahaja kerana anak-anak sudah cukup dewasa,berjawatan dan sudah mempunyai rumah dan keluarga masing masing. Sedikit sebanyak kedatangan mereka mengubati rasa rindu dan sunyi kami berdua.Hilai ketawa,laungan dan teriakan anak cucu pastinya menghiburkan.
   
    Ini mengingatkan kami,membawa balik kenangan lama semasa kami  mula-mula mendirikan rumah tangga.Kedua-dua orang tua kami,baik dipihak suami mahupun dipihak isteri seringakali menunjukkan wajah gembira setiap kali kami  menziarahi mereka sama ada di Kota Bharu atau di Rantau Panjang.Ibuku , begitu juga ibu mertuuaku selalu  gopah gapah menyiapkan makanan atau hidangan kegemaran kami, nasi kerabu dan pulut pagi.

    .Mengingatkan kembali semuanya ini,kami jadi sebak.Siapa yang tidak dapat menyelami perasaan ibu bapa ketika itu. Perasaan halus,lembut dan ikhlas mereka melayani kunjungan kami.  Lebih-lebih lagi ketika kami bersama anak-anak. Cucu mereka.


Riang  bersama Tok Ma
                                                              
                  
      Kini perasaan  dan sikap itu lah juga yang kami warisi  dari mereka.(Yang semuanya telah lama kembali kepada tuhannya).Alangkah bahagia bila berada diusia yang lebih separuh abad ini,kami masih berpeluang bermain,bergurau  dan bermanja  dengan  anak dan cucu.Anugerah Allah yang tidak semua orang dapat menikmatinya!

      Masih terbayang bagaimana wajah lesu ibu atau mertua yang sedang duduk ditangga tiba-tiba bertukar menjadi ceria sebaik sahaja melihat kami tiba untuk menziarahi mereka.Tidak terlukis suasana  ketika itu.

      Kami bertuah kerana hari ini masih ramai ibu-ibu yang seringkali dibelenggu kesunyian,tidak dikunjungi anak-anak yang sudah dewasa dan berjawatan.Mereka jauh di mata dan jauh juga di hati !
  
      Sayangnya,masih ramai anak-anak muda kita mula melupuskan sejarah dan kenangan kelurganya .

      Kasih dan sayang  ibubapa  dianggap sudah menjadi perkara yang silam.

     

     

Friday, October 15, 2010

Bila semuanya hendak digalas !


                                                             
                                                                     
                                                                         
   Biasalah  apabila sesuatu pilihanraya kecil  di istihyarkan di sesuatu kawasan,maka bermulalah  pelbagai rancangan segera,projek segera, agihan bantuan segera .  Pendek kata, semuanya segera...

  Di Galas , ini juga tidak terkecuali.

  Dalam beberapa hari sahaja  sewa rumah naik melambung beratus peratus dari lima hingga duabelas ribu ringgit .Kayalah yang empunya rumah sewa.  Tuan punya kedai  makanan telah mula mencongak  keuntungan besar yang nanti  boleh dikaut.Pemilik kereta sapu dan persendirian  juga mula menghitung  tawaran yang akan di terima.Banyak lagi pihak yang berkira-kira untung yang nanti nak digalas.

   Inilah saatnya rezeki datang mencurah-curah. Orang dari luar datang dengan kereta besar,kereta 4w drive dan sebagainya  menghulur 'Bantuan Ikhlas" , wang tunai ,makanan dan keperluan  asas rumah seperti simen,zin dan kayu. Begitu banyak...galas sahaja semuanya !

   Orang kampung sudah banyak pengalaman.Mereka tetap dengan pendirian yang sedia  ada.Mereka tidak mudah lupa.Yang mudah lupa itu adalah Orang Melayu yang baru nak  jadi Melayu.....dan yang baru nak jadi Islam!.

   Bila habis musim pilihanraya nanti, tidak ada lagi  yang hendak  di galas.

   Tok Guru pernah berpesan.."Bagi beras ambik,bagi lembu tarik..bagi kain pakai....."

   Di Galas  ,bukan semua orang boleh di galas.Mereka ada harga diri, iman dan taqwa meskipun setiap waktu dihimpit  penindasan,penipuan, diskriminasi dan penyalahgunaan kuasa.
  
   Yang jelas  , di sini tidak semuanya boleh digalas .
  

Tuesday, September 21, 2010

Ada ketikanya

   

                                                Wajah kegembiraan ketika bertemu         
  Setiap kali apabila menyambut Aidilfitri  (Setelah selesai berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan) keluarga jauh dan dekat bersua muka ,bersalaman dan berbual mesra di tengah-tengah hilaian dan teriakan anak-anak kecil. Itulah saat yang paling mengembirakan,cukup nostalgik terutamanya  apabila sanak saudara yang  sudah begitu lama terpisah bertemu kembali.

                                                            ketawa dan hilaian mesra                          
  Dalam dakapan mesra dan gengaman tangan yang erat airmata turut menitis,suka bercampur duka !

  Yang begitu lama terpisah  sehingga wajah dan tubuh tidak mudah  dikenalpasti, pada ketika itulah persaan kekeluargaan terjalin semula.


                                                     Dakapan kasih dan sdayang                      
   Amat ternyata di saat-menyambut Aidilfitri 2010,ada ketikanya perasaan kasih dan sayang dicurahkan tanpa segan silu.Dakapan  erat  mengembalikan kemesraan di masa  silam.

  Ada ketikanya khabar berita mengenai ahli-ahli keluarga saling bertukar pandangan dan yang paling teruja ialah apabila mengingati mereka yang telah lama  pergi,kembali ke rahmatullah.Terasa benar kehilangan ibu dan ayah tersayang dari kedua-dua belah pihak baik suami  mahu pun isteri.Sesekali terbayang saat mereka ada bersama , berbicara dan  mengilai ketawa.

  Kini hanya tinggal kenangan mengamit rasa.

  Ada ketikanya ,terasa kita  pun tidak lama  lagi akan menyusuli mereka juga. Kini hanya dibezakan dengan batas-batas waktu yang semakin singkat.Mengingatkan ini selera makan kueh raya  terhakis,hilai ketawa akan diselaputi rasa hiba dan  kerap disusuli rasa sunyi bila mengingati mati.

   Ada ketikanya disaat-saat begini,diri terasa  berada begitu hampir dengan Allah .  

   Justeru  itu, Kemeriahan Aidilfitri ternyata hanylah  satu peralihan waktu !

Thursday, August 26, 2010

Air

                                                                     
                                                         
                                                                             
1
Pada penghujung malam sepi
hujan masih rintik-rintik
ketika muka diusapi air
lantas rebah sujud ke bumi
dalam tahajud
dalam tasbih
taubat
dan hajat
air mata  mengenangi kelopak mata
lalu mengelusur ke pipi dan dagu
menghambat rasa kesal dan sedih
puluhan ribu hari
 yang sudah pun berlalu

2.
Pada dinihari pagi
air mengalir lagi
menuruni bukit dan gunung
lalu membawa lumpur dan pepejal
menghambat penghuni
yang mendakap kesejukan
diulit kesengsaraan
dalam derita dan tangis
lantaran musnahnya
kehidupan dan
kemanusiaan

3
Pada senja ini
air anugrah turun dari syurga
suci dan jernih
lalu berlari di lurah dan di sungai
 terus menjadi keruh dan kotor
membunuh kesejahteraan
membiak penderhakaan
membunuh keimanan
bilamana
benih yang lahir, dilemparkan

4.
Pada bumi gersang ini
 air merangsangkan kehidupan
membina temadun
yang kemudianya diruntuhkan
jutaan insan kehilangan jantung,
hati dan buah pinggang
kini mula membutuhkan
air suci dan bersih
persis dari syurga
yang di bawahnya
mengalir anak
sungai 

Tuesday, July 27, 2010

Menjelangnya 15 Syaaban...



Mohd.Ezziz Mustaqim ,lahir pada 25 July 2010/13 Syaaban 1431

Salah satu rahmat yang di kurniakan Allah
apabila
seseorang itu sudah semakin tua
ialah

dipanjangkan umur dan
diberi kesempatan untuk menimang cucu
dan kemudian nanti dapat memanjakan nya,
bermain dan bergurau
serta  terus mendidiknya  juga
lantas mengisi ruang-ruang kosong dalam hidupnya!




Itulah keindahan hidup pada saat itu!
yang  mewujudkan kebahagiaan keluarga

dan nikmat kesyukuran
Bersama ibu dan kakak ke-3
 
Alang kah sunyinya hidup dihujung usia
tanpa anak,dan tanpa cucu untuk berkongsi masa
anak yang ada kebetulan masih lagi kecil
 

Berkongsi kegembiraan 

Itulah ,  bila
diri  asyik mengejar kerjaya,pangkat dan kemewahan
lantas lambat mendirikan rumahtangga
natijahnya
Nanti di hujung usia
meneruskan sisa hidup sendirian,
tanpa hilai ketawa dan senyum
insan-insan tersayang !



Bersama pelawat pertama  


Apapun
semuanya adalah kurniaan Allah
Yang Amat Pengaseh dan Amat  Penyayang

Wednesday, July 21, 2010

Kalau...


                                                                 
      Dalam usia yang menjangkau sepuluh bulan dan baru sahaja mampu merangkak,ia sudah biasa dan selesa memakai tudung menutupi aurat. Bagaimana pula halnya dengan mereka yang berumur 10 tahun,20,30,40.50 dan 60 tahun- ? 

Apakah susahnya bertindak begini atau ada manusia sengaja  ingin menunjukkan kedegilan untuk tidak mematuhi hukum Allah !

Kalau diperhatikan jernih muka nya, sungguh bulat matanya, ceria wajahnya,dan lembut suaranya.

Kalau lah ia jadi pemimpin,beginilah penampilannya kelak...
Kalau lah nanti jadi isteri, beginilah  juga imegnya terserlah...
Kalau membesar jadi remaja,beginilah juga gayanya  nanti...
kalau dah sampai di penghujung hidup, biarlah  terus begini  tekadnya
Kalau inilah kurniaan hidayah dari penciptaNya , syukur Alhamdullilah ...

Kalau semua anak berketrampilan begini,alangkah damainya  negara
Kalau nanti dilamar orang,biarlah  ia berasaskan keimanan dan ketaqwaan
Kalau  sekecil ini sudah mengenali erti kepatuhan,takkan yang  dewasa masih  meraba  -raba mencari kebenaran!


 KALAU HENDAK SERIBU DAYA ,KALAU TAK HENDAK SERIBU DALIH...I

Kalau yang enggan menutupi auarat,TUNGGULAH saatnya apabila maut datang menjemput.

Kalau diri  merasa bebas,sebebas-bebasnya,peduli apa pada hadnya.

Jesteru itu TUNGGULAH apabila kebebasan sampai di penghujungnya .Nanti di saat itu tiada siapa yang boleh membantu lagi kecuali kudratNya

Sayang...kalau diri sebenar-benarnya tidak tahu !

Sunday, July 11, 2010

Perjalanan yang menyedihkan


                                                              
                                                      Ganbar Hiasan              
  Selalunya aku dan isteri akan ke Kuala Lumpur bila terpanggil.Ada sahaja permintaan dari anak-anak untuk kami ke rumah mereka bila ada  perkara yang  mustahak. Kami bertukar-tukar mood perjalanan,dari menaiki  bas ke keretapi dan sekali sekala ( pilihan terakhir) dengan kapal terbang.

  Minggu lepas ,di awal Julai dan di akhir bulan Rejab,kami ke Kl lagi.Kami menaiki bas ekspress "Double Decker" .Bas yang sepatutnya bertolak pada jam 9.00 malam  tiba lewat di platform dan perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur hanya  bemula pada jan 9.40 malam. Keadaan begini sudah biasa benar kami alami.

  Kata  orang jauh perjalanan luas pengalaman.Tetapi pengalaman kali ini menjadikan kami sedih kerana pada bulan Rejab (Bulan sembahyang bagi Kelantan) keadaan yang terpapar depan mata sungguh memalu dan memilukan.

  Sebaik sahaja bas berhenti di separuh perjalanan.iaitu di Merapoh,ada  para penumpang  yang turun untuk membeli makanan dan minuman,ke bilik tandas dan ke surau untuk bersolat.Ramai yang tidak berganjak dan  terus lena dalam kesejukan awal pagi.

   Anehnya , ramai yang mengunjungi tandas bagi melepaskan hajat selepas membayar wang sebanyak 30 sen seorang  tetapi tidak ramai (boleh dihitung dengan jari) pula bilangan yang  masuk kesurau untuk bersolat. Kami yakin  ramai yang menaiki  bas tidak sempat menunaikan Solat Isya dirumah .

  Semua orang tahu solat adalah tiang agama.Dalam solat kita menemui Allah,persis  sujud dihadapan Kaabah,berdoa.berpuasa dan seolah membayar zakat (memperuntukkan sebahagian waktu dalam kehidupan seharian untuk bersolat demi kerana Allah).

  Yang menyedihkan ialah hanya beberapa kerat penumpang Melayu yang beragama Islam menunaikan tanggungjawab untuk bersolat.

  Lebih memilukan ruang atau bilik-bilik solat yang disediakan (di kebanyakan  tempat di Merapoh) tidak bersih,beselerak dengan  hamparan yang hapak dan tempat mengambil wuduk yang kurang menyenangkan. Jauh bezanya dengan keadaan  bas-bas moden dua tingkat . Ruang solat yang disediakan di Ikea atau di Curve  di Damansasra  atau di R & R dan stesyen minyak Petronas di Gua Musang  jelas lebih bersih dan mententeramkan.

  Walau apapun keadaan, sebenarnya tidak ada alasan mengapa solat tidak boleh didirikan Yang sebenarnya, ramai yang malas tidak sabar dan tiada taqwa walaupun masa rehat yang diperuntukkan cukup selesa .  

   Paling menyedihkan,apabila perjalanan tergendala atau lewat sampai pada masa sebenarnya,penumpang tidak diberi peluang turun untuk menunaikan solat subuh misalnya di Gombak,di Hentian Putera (untuk ke Kelang,Kajang dan sebagainya)di Telipot atau di Nilam Puri,sebelum tiba di Kota Bharu.Masa 20 hingga 30 minit bukanlah lama sangat dan boleh menganggu perjalanan .

   Kami rasa sudah tiba masanya pihak pengurus bas ekspres mengambil inisiatif   bagi membantu para penumpang mendirikan solat yang diperlukan dalam perjalanan terutama bagi solat Isya dan subuh.Sekurang-kurangnya menentukan masa dan tempat yang sesuai.   

   Kita semua memikul tanggungjawab yang berat untuk mendirikan solat dan tidak seorang pun  yang beragama islam rasa selamat apabila terpaksa meninggalkan solat semasa dalam perjalanan.

   Itulah perjalanan yang  menyedihkan , apabila kita dengan sengaja  tidak mahu bersolat atau dinafikan haknya  !  

Tuesday, July 6, 2010

Berbudi pada tanah

    Semenjak kami berpindah ke rumah sendiri dua puluh tahun yang lalu,ia itu yang terletak di atas tanah yang hampir suku ekar luasnya,kami menanam apa sahaja jenis pokok buah-buahan.
                               
                                                Hasil sulung durian .Dapat dicapai dengan tangan 
    Setahun kemudian kami mula menikmati hasilnya apabila pokok-pokok pisang mengeluarkan buahnya  diikuti oleh pokok pauh.

    Sememangnya berbudi pada tanah banyak ganjarannya.Selain beroleh pahala , burung-burung dan ungas serta tupai  tumpang menikmati hasilnya.
                                                      Buah yang hijau akan bertukar merah       
    Hari ini aku dapat melihat hasil tanaman pokok durian  yang ditanam lebih kurang sepuluh tahun lalu mengeluarkan buah sulungnya.Walau pun buahnya tidak begitu banyak,tetapi ia amat mengembirakan .
                                                                  Buah ciku
    Aku tidak begitu selektif.Asalkan dapat apa sahaja benih pokok buah,aku tanam sahaja di sekeliling kawasan rumah.

    Bermula dengan pokok pisang,kemudian kelapa,pauh,jambu,limau bali,ciku,manggis dokong dan yang terakhir ialah pokok salak.
                                                         
                                                           Buah salak yang manis
    Pisang,umpamanya tidak pernah putus-putus mengeluarkan buah.Aku gemar sekali menanam pisang  kelat keling atau restali,kebatu,pisang emas dan pisang lemak manis. Kebanyakan hasilnya dikongsi bersama jiran,anak-anak dan sanak saudara.
                                            
                                                 Pisang emas tidak pernah putus hasil keluarannya
    Masa yang terluang banyak aku habiskan  di sekeliling rumah.Mencuci kawasan
dan memungut hasil buah-buahan apabila tiba masanya.

    Pendek kata apabila kita berbudi pada tanah,  hasilnya  amat memuaskan.Bagi aku kegembiraan ialah apabila dapat menikmati hasil titik peluh sendiri.
                                     
                                                        
   Tahun ini ,hampir kesemua jenis pokok buah-buahan mengeluarkan buahnya serentak.Sebulan dua lagi boleh lah dipetik hasilnya.



Buah pauh  atau mempelam          
                                                                  Buah dokong        
                                                        
   Kita berbudi, Allah memberi rezeki .    

  Apapun,kesemunya adalah anugrah dari Nya.



                                                                                                                                                        Buah rambutan menghijau

Thursday, July 1, 2010

Sepetang di taman



                    Dalam perjalanan menuju ke Taman  Perbandaran Tengku Anis               
   Petang itu,23hb,Jun,2010,(Rabu), aku berpeluang buat pertama kalinya mengunjungui Taman Perbandaran Tengku Anis,yang terletak di pinggir Bandaraya Kota Bharu,bandaraya Islam. yang pembukaan rasminya telah dilakukan oleh Ke bawah Duli Yang maha Mulia,Tuanku Sultan Ismail Petra pada  4hb.sepetember 2004.

                                             Laluan pejalan kaki yang  menghijau 
                        
 Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam Taman itu ,aku terasa satu kelainan .Terasa  amannya keluarga bersama anak-anak melakukan berbagai akativiti,jauh dari kesibukan kota.Taman  ini  sebenarny  terletak tidak jauh dari Tanjung Chat dan bersebelahan dengan  Kampung Wakaf Mek Zainab dan Taman Bendahara..

                                           Pancuran air yang menarik              
    Selain dari kawasan permainan  dan kolam mandi yang amat cetek untuk  kanak-kanak kemudahan untuk berjalan kaki dan berjogging  disediakan.


                      Kanak-kanak ditemani ibubapa bermain riang      
    Apa yang menarik,ramai kanak-kanak yang diiringi ibubapa  riang melakukan berbagai aktiviti.


                                  Mandi- manda di kolam air pancur yang cetek        
    Ternyata taman ini dapat mewujudkan  "Suasana kekeluargaan" dan "ketenangan".Anak-anak dan remaja berpeluang  bersama kelurga masing-masing berkongsi masa bermain dan bergaul sama.Ini adalah salah satu ciri penting dalam membangunkan anak-anak dan remaja,membentuk dan mendidik jiwa untuk menghayatai ketenangan dan kegembiraan dalam hidup. 

                                      Remaja berehat sambil menikmati makanan ringan                                
   Namun jauh di beberapa sudut terdapat anak-anak berjalan dan ada yang duduk bersendirian. tanpa di temani ibubapa.Mungkin ibuabapa mereka masih sibuk berkerja atau  berada dalam perjalanan pulang....justeru anak-anak  meluangkan masa lapang mereka sendirian!

                                            Bermain dengan rusa di  Taman Rusa                                       
   Sebenarnya ,di Taman  beginilah anak-anak,remaja dan keluarga boleh berkongsi  masa,rasa dan pengalaman.Sekurang-kurangnya mereka diajar untuk mencintai dan menghormati alam sekeliling,memiliki perasaan halus dan sensitif.Ini  Penting kepada pembinaan watak dan peribadi yang baik,tenang tetapi responsif !.                                        
                                           Laluan untuik berjogging                    
   Sayangnya,ketika orang lain bebas menikmati persekitaran  begini,masih ramai lagi anak-anak dan remaja dikonkong jiwa mereka oleh sikap pesimis keluarga terhadap kemudahan yang disediakan  di taman begini.                                                         
                                                       Hijau dan teduh
   Masih ramai anak-anak dan remaja terhalang dari mempelajari , memahami dan menikmati keindahan sesebuah taman permainan akibat  kejahilan ibubapa  dan  sifat tamak mereka mengejar kepentingn diri sendiri
                                            Peringatan di segenap sudut pejalan kaki
  Akibatnya,  anak-anak dan remaja membesar dan tidak tahu serta pandai  menilai erti sesebuah taman !