Followers

Tuesday, October 16, 2012

Kari Udang





  

 Agaknya sudah lama kami tidak pergi berkenduri di luar Kelantan.Paling terakhir ialah menghadiri kenduri  kahwin anak saudara di Kerteh,Terengganu pada  awal bulan Februari lepas. 

   Kali ini di akhir bulan Ogos,kami ke Perak pula untuk Majlis perkahwinan seorang lagi anak saudara  lelaki yang akan berlangsung pada 25hb Ogos 2012 di Dewan Komuniti Changkat Jering,Taiping.

   Pada jam 10.00 pagi Jumaat 24hb.Ogos aku dan isteri bersama dengan anak saudara perempuan serta  dua anaknya berlepas  dari Kota Bharu menuju Taiping melalui Lebuhraya Timur Barat.Perjalanan   kami tenang kerana  tidak banyak kenderaan di lebuhraya.Tidak seperti beberapa tahun dahulu pemandangan  serta panorama indah tidak begitu kelihatan lantaran sudah banyak terdapat pokok-pokok besar dan  semak samun  di kawasan bukit .Lainlah pula  kalau menaiki bas ekspres.

   Sebaik sahaja tiba di Grik kami tidak terus  ke Taiping sebaliknya menghala ke Seberang Prai.  Rupa-rupanaya anak saudara kami (yang memandu) megidam untuk menikmati kari udang di Sungai Bakap yang mengikut khabarnya  adalah yang terbaik. Kami tidak membantah malah mengikut sahaja apalagi ingin menumpang pengalaman menikmati kari udang di tempat orang.Sekali  sekala aku khayalkan rupa dan rasa kari udang dan keseronokan yang akan diperolehi nanti.

Friday, April 6, 2012

Hingga kini jua..



                         
                                                                            
  Sudah menjadi  lumrah dalam kehidupan  apabila sampai waktunya seseorang itu terpaksa mencari jodoh untuk berkongsi hidup.

  Aku juga tidak terkecuali. Dari usia yang  agak muda aku telah mula mengintai-intai gadis yang bakal menemani hidupku.Akhirnya  pada usia 24 tahun aku rasmi menjadi seorang suami.Isteriku berusia 22 tahun!

  Kini sesudah 43 tahun bersama,kemesraan masih utuh juga malah ada kalanya kami menjadi semakin manja dan sensitif.Walaupun anak-anak tidak tinggal  bersama (semuanya dan berumah  tangga dan memiliki kediaman sendiri masing-masing) kami tetap serasi dan
rapat.Kemana-mana pun, berdua-duaan.

Wednesday, February 15, 2012

Rutin harianku


                                                    
       Sudah berpuluh tahun aku menjadi pendidik , dan menempuh pelbagai ragam hidup,namun
suasana hidup hari ini adalah lebih tenang,lebih bererti dan  rasa dilimpahi  banyak rahmat.

      Bezanya ialah  sesudah berbelas tahun bersara,aku kini menjadi "Baby sitter" kepada cucu lelaki yang  memasuki usia dua tahun.

      Dari sinilah bermulanya lembaran hidup baru dan kini menjadi rutin harianku. Satu susungalur hidup yang aku rasa tidak semuanya boleh dinikmati  oleh
semua orang .Ia memerlukan keyakinan ,keikhlasan,tenaga dan istiqamah  yang berpanjangan serta berterusan.Malah jika disalahurus akan menyebabkan berlakunya
konflik  keluarga  dan lebih-lebih lagi konflik diri.  Sehingga kini aku yakin dapat mengatasinya dengan  izin Allah.

     Rutin harianku bermula jam 5 pagi.Aku dan isteriku  biasanya melakukan solat-solat sunat sementara menuggu azan subuh.Setelah  selesai solat sunat subuh dirumah   kami terus ke masjid  berhampiran.dan setengah jam kemudian  telah pun bergerak kerumah anak perempuan kami,hampir tujuh kilometer jauhnya
untuk  mengambil cucu lelaki bersama dua orang kakaknya..Sebelum jam 7 pagi kami sudah pun melepasi simpang lempu isyarat yang paling sibuk untuk
menghantar  kedua-dua orang kakaknya ke sekolah.sebelum pulang bersama  cucu kerumah kami.Biasanya   sekitar jam 7.30 pagi kami sudah pun berada
dirumah dan bermulalah tugasan  harian rasmi  kami.

     Tugas ku menemani,melayan dan bergaul dengan cucu dan menidurkan nya sekitar jam 9.00 atau 10.00 pagi.Tugas isteriku menyediakan minuman susu,
memandi dan menyalin lampin dan pakaianya.Jelasnya sebahagian besar masa , akulah yang lama berada bersama  cucu dan mengikuti segala kerenahnya.

Adakalanya aku ikut  bermain  sorok-sorok dengan nya,berbaling-baling bola dan bantal  serta sekali sekali mengiau memanggil-manggl kucing!.Pendek kata
kami berkongsi kelakuan dan tingkahlaku yang sama.

     Penat,tapi aku bersyukur kerana Allah memberikan aku kesempatan  untuk bersama dengan cucu  lelaki.(Ketiga-tiga kakaknya sebelum ini
 pun membesar bersama kami) .Malah  kami tidak pun terasa membosankan melakukan kerja-kerja begini. sebaliknya  ujudnya keceriaan,hilai ketawa dan
gurau senda kami bertiga. Aku sering membayangkan betapa sunyi ibu dan ayah yang sudah tua ditinggalkan  di rumah-rumah kebajikan,tanpa hilai ketawa
bersama anak dan cucu. Syukurlah Allah memberikan rahmat untuk kami menikamati saki baki hidup bersama anak-anak dan cucu.

Sunday, January 29, 2012

Berakit ke Hulu,berakit ke Hilir






Perjalanan yang lambat  mengikut  arus
    Aku memang suka berkongsi dan dikongsi pengalaman. Memang benar jauh perjalanan,luaslah pengalaman.Pengalaman menjadikan kita semakin matang,mengerti kemanusiaan dan ketuhanan serta menghidupkan ikatan ukhwah.

       Satu ketika dahulu ,aku menyertai sekumpulan sepuluh orang budak-budak pengakap bersama seorang gurunya iaitu dari kumpulan 26 Kelantan English School,Kota Bharu Kelantan mengembara dengan rakit di Ulu Kelantan.

Terkandas di atas pasir sungai yang cetek
            Tepat pada jam 6.30 pagi 8hb April 1969,kami telah menaiki bas di Jambatan Sultan Yahya Petra menuju Tanah Merah.Setibanya di Tanah Merah sejam kemudian kami besesak-sesak pula dalam sebuah bas yang lebih kacil menuju pekan Ayer Lanas dan seterusnya tiba di Jeli pada jam 12.15 tengahari.Dalam keadaan panas terik kami meneruskan pengembaraan dengan berjalan kaki menuju Kampung Lubuk Bongor yang jauh nya hampir 14 kilometer.Kami melalui jalan tanah merah yang baru di bersihkan dan terpaksa mendaki dan menuruni bukit serta menharungi Sungai di Cegar Bedil yang airnya deras sedalam separas pinggang.Yang jadi masalahnya ialah setiap orang terpaksa memikul hampir 15 kilogram barang makanan seperti beras,gandum,ikan kering,sardin,minyak masak,gula dan keperluan peribadi termasuk ubat-ubatan.

        Kami keletihan dan walaupun jangkaan akan sampai di Lubuk Bungur jam 7.30 malam,kami semua mengambil keputusan mendirikan khemah di tengah hutan di Pasir Tia dan bermalam di situ.Keesokannya kami meneruskan perjalanan. dan tiba di Lubuk Bungur jam 11.30 tengahari.
Gambar kenangan di Air Lanas
                                   
             Berikut ialah ringkasan pengembaraan kami:

8hb April :  Bertolak dari Kota Bharu.
9hb April:  Tiba di Lubuk Bongor,dan mula membina dua buah rakit dengan buluh yang     dibeli berharga 8 ringgit untuk sebuah.Kami berehat dan bermesra dengan penduduk kampung selama dua hari.
  
11hbApril: Selesai menunaikan Solat Jumaat, kami memulakan pengembaraan berakit pada jam 3.30petang.Setiap buah rakit menampung 6 orang,tiga di hadapan dan tiga di belakang.Lewat petang itu kami mendarat di Jerimbong dan bermalam di situ.Unggun api terpaksa dinyalakan sepanjang malam di hadapan khemah.

Bersama adik-adik di Kuala Balah
12hb April: Meneruskan perjalanan dan tiba di Pekan Kuala Balah pada jam 10.10 pagi  dimana kami membeli belah dan melapurkan diri di Balai Polis. (Keadaan Darurat masih dikuatkuasakan).Kami bermalam di situ.
13hb April: Memulakan perjalanan di awal pagi menuju Kuala Krai.Menempuh dua halangan yang besar.Pertama terpaksa menuruni jeram berbahaya di Cegar Bedil dekat Dabong dan keduanya melalui Lembah Pergau yang begitu dalam dan airnya berwarna kehijauan.Kami tidak dapat menggunakan galah dan hanya mengikut arus sungai.Tiba di Kuala Krai jam 6.30 petang dan bermalam di situ. Beberapa orang peserta belot, dan pulang ke Kota Bharu dengan bas .
Keadaan cemas semasa melalui jeram
14hb April: Dalam kesamaran kabus pagi dan sungai yang begitu lebar  kami bertolak dari Kuala Krai dan tiba di Temangan lewat petang itu dan kami bermalam di situ.
15hb.April: Bertolak dari Temangan di awal pagi dan meneruskan perjalanan sehingga waktu malam dari Kemubu menuju Kota Bharu.Malangnya rakit kami terkandas di atas benteng pasir di Lemal,Pasir Mas.Akibat keletihan dan tidak berdaya hendak menolak rakit,.Kami tidur sahaja di atas rakit..
Menolak rakit ketika menuruni jeram
16hb April: Setelah mengambil sarapan pagi di Bandar Pasir Mas,kami bertolak menuju Kota Bharu.Pejalanan terlalu lambat kerana arus sungai begitu perlahan.Kami selamat sampai di Kota Bharu pada jam 4.45 petang. dan mendarat di Tambatan Di Raja .Pengembaraan berakit selama 6hari 5 malam berakhir.

Perjalanan yang sugguh memenatkan